Setiap bulan seramai 175,156 individu OKU menerima imbuhan elaun pekerja cacat (EPC), Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) dan Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB) di seluruh negara. Elaun pekerja cacat (EPC) diberikan sebanyak RM 400 sebulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Elaun ini diberikan bagi menggalakkan individu OKU terus menjadi masyarakat yang produktif dengan terus bekerja serta mampu berdikari bagi meneruskan kehidupan seharian.
Kesemua penerima elaun ini terdiri daripada OKU yang sedang bekerja dengan pendapatan RM 1,200 dan ke bawah sebulan. Penerima elaun ini mestilah telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta memiliki kad OKU JKM berumur 16 tahun ke atas. Pemantauan sering dilakukan oleh JKM dengan mengadakan sesi konsultasi bersama klien. Sekiranya individu OKU telah mampu berdikari serta mempunyai pendapatan melebihi RM 1,200 sebulan, bantuan ini akan ditamatkan. Namun, ianya bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh JKM dengan melihat perkembangan serta pembangunan individu OKU yang terlibat.
KRITERIA KELAYAKAN
- Merupakan warganegara Malaysia, menetap serta bekerja di Malaysia
2. Berumur 16 tahun dan ke atas
3. Telah berdaftar dengan JKM serta merupakan pemegang kad OKU JKM
4. Mempunyai pendapatan bulanan RM 1,200.00 dan ke bawah atau - Mempunyai mana-mana kes yang berkeperluan adalah layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM
Kerajaan sangat menggalakkan individu OKU terus bekerja dengan perolehan pendapatan melebihi RM 1,200 sebulan bagi menaikkan taraf hidup masing – masing. Ini menunjukkan individu OKU tersebut telah bersedia untuk berdikari serta mampu menyumbang sama seperti orang lain. Biarpun terdapat sesetengah masyarakat menganggap golongan OKU tidak produktif tetapi tidak golongan OKU tersebut, mereka sebenarnya mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Individu OKU bekerja yang tidak lagi layak menerima EPC masih boleh menerima bantuan sokongan lain seperti sesi kaunseling sekiranya memerlukan khidmat nasihat dan lain – lain. Bagi individu OKU yang berminat serta mahu memulakan perniagaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan Bantuan Geran Pelancaran dengan jumlah bantuan sebanyak RM 2,700 yang dibayar secara sekaligus. Malah, JKM turut akan mengeluarkan surat sokongan sebagai rujukan sekiranya individu OKU memerlukan bantuan tambahan dari agensi lain di mana Jabatan Tenaga Kerja turut menyediakan peruntukan bantuan perniagaan kepada golongan OKU sehingga RM 100,000 bagi yang telah pun memulakan perniagaan.
Bantuan yang diterima
Bantuan – bantuan yang diwujudkan bagi golongan OKU ini bagi membuktikan kerajaan Persekutuan hari ini sangat prihatin terhadap golongan tersebut. Sebanyak 25 faedah lain yang boleh dinikmati oleh golongan OKU yang berdaftar termasuklah dari segi bantuan Pendidikan, kesihatan, kemudahan pengangkutan awam dan banyak lagi. Malah, kerajaan juga sentiasa menitikberatkan golongan ini dengan sentiasa memberi keutamaan kepada akses kemudahan serta ruang awam bagi memudahkan setiap pergerakan golongan OKU dalam menjalani kehidupan harian.
Kesimpulan
Pada tahun 2019, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 129.8 juta kepada JKM bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan serta program khusus buat golongan OKU. Peruntukan yang disediakan melalui Belanjawan 2019 ini meliputi tujuh institusi kebajikan iaitu Bengkel Daya Kalang (BDK), Taman Sinar Harapan (TSH), Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) serta semua Taska OKU di seluruh negeri. Keprihatinan kerajaan menunjukkan negara tidak pernah mengabaikan kewujudan golongan OKU dalam masyarakat serta sangat mementingkan keperluan dan kepentingan hak asasi individu OKU. Oleh sebab itu, kerajaan tidak pernah gagal untuk mengutamakan
perancangan bajet setiap tahun terhadap golongan ini.