Pendidikan teknik dan vokasional di bawah Kementerian Pendidikan bermula pada peringkat sekolah rendah, dimana pelajar diperkenalkan dengan pembelajaran pra-vokasional yang meliputi pelbagai aspek kemahiran manipulatif. Apabila pelajar melanjutkan pelajaran ke peringat rendah sekolah menengah, pendidikan pra-vokasional diteruskan dengan pembelajaran Kemahiran Hidup yang menyediakan pelajar dengan pelbagai pendedahan lanjut kemahiran vokasional yang mudah. Pada peringkat atas sekolah menengah iaitu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, pelajar akan menerima pendidikan teknik dan vokasional secara rasmi di Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik yang menawarkan mata pelajaran teras seperti sekolah akademik biasa. Ini meliputi pelbagai mata pelajaran teras yang lain termasuk bahasa, matematik, dan sains. Walau bagaimanapun, pelajar dikehendaki mengambil mata pelajaran teknik dan vokasional daripada pelbagai pilihan yang telah disediakan oleh Kolej Vokasional atau Sekolah Menengah Teknik.
Aliran/Jenis
Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik mempunyai 3 aliran untuk dipilih oleh pelajar, antaranya;
- Aliran Teknik seperti mata pelajaran;
- Kejuruteraan mekanikal, sivil, dan elektrik.
- Sains pertanian.
- Perdagangan
- Aliran Vokasional seperti mata pelajaran;
- Kejuruteraan perniagaan
- Perdagangan
- Ekonomi Rumah Tangga
- Pertanian
- Aliran Latihan Kemahiran seperti mata pelajaran;
- Kursus pekerjaan
Syarat Kemasukan dan Peperiksaan SPM
Syarat Kemasukan Am bagi Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik adalah melalui Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pentaksiran Tingkatan 3 dan yuran sekolah sebanyak RM35 setahun bagi tempoh selama 2 tahun untuk TIngkatan 4 dan Tingkatan 5. Selepas 2 tahun pembelajaran di peringkat ini, pelajar Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik dikehendaki untuk menduduki peperiksaan awam biasa yang dipanggil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar di peringkat atas sekolah menengah biasa. Namun, pelajar dari aliran Latihan Kemahiran akan menduduki Sijil Kemahiran Malaysia sebelum kerajaan memberi anugerah kelayakan kemahiran mengikut Taraf 1, 2, 3, 4, & 5.
Syarat Kemasukan (sambungan 2)
Pelajar juga perlu mematuhi syarat am lain yang telah ditetapkan oleh tempat pembelajaran berkenaan seperti;
- Kewarganegaraan Malaysia
- Sihat tubuh badan dan tidak menghidap penyakit kronik atau kecacatan yang boleh menyebabkan mereka kurang kemampuan untuk melakukan kerja amali
- Tidak mempunyai masalah mental
- Mampu untuk mengira, membaca, dan menulis dengan baik
- Tidak mempunyai masalah buta warna atau rabun warna
Permohonan Kolej Vokasional atau Sekolah Menengah Teknik
Mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Vokasional atau Sekolah Menengah Teknik boleh menghadiri temu duga terbuka atau membuat permohonan melalui borang rayuan yang telah disediakan secara dalam talian di www.moe.gov.my sekiranya mereka gagal dalam permohonan yang pertama.
Maklumat Lanjut
Pembelajaran mereka di Kolej Vokasional atau Sekolah Menengah Teknik telah mendapat tajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan sekiranya pelajar tidak layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma, mereka akan menerima Sijil Vokasional Malaysia yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, mereka juga boleh memasuki pasaran kerja, atau menjadi seorang ahli perniagaan.