CARA ISI PERMOHONAN UPU ONLINE

CARA ISI PERMOHONAN UPU ONLINE

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah membangunkan satu sistem yang memudahkan proses kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) di Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) adalah bahagian yang  bertanggungjawab menguruskan sistem UPU Online ini. Permohonan kemasukan ke IPTA ini termasuklah 20 Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), 3 Politeknik Premier, Politeknik Konvensional/METRO, Kolej Matrikulasi KPM, Kolej Komuniti serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Berikut merupakan kaedah untuk mengisi permohonan UPU Online:

  • Dapatkan nombor PIN di Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM 10.50 dan boleh dibeli melalui tiga kaedah iaitu secara dalam talian di MyBSN, kaunter BSN serta mesin ATM BSN dan pastikan pilih kategori yang betul semasa membuat pembelian samada untuk lepasan SPM, STPM atau setaraf dengannya.
  • Layari laman web rasmi di https://upu.mohe.gov.my untuk proses permohonan 
  • Daftar sebagai pengguna baru dengan klik butang Daftar Akaun Baru
  • Setelah berjaya mendaftar akaun, masukkan semula nombor kad pengenalan, kata laluan serta pilih kategori pemohon samada SPM atau STPM/setaraf dan klik butang Log Masuk
  • Pilih kategori yang betul semasa membuat permohonan kerana setiap kategori mempunyai syarat kelayakan yang berbeza 
  • Pemohon digalakkan untuk menyemak merit terlebih dahulu sebagai panduan lepasan STPM dan setaraf
  • Klik butang permohonan dan lengkapkan maklumat yang diperlukan terutamanya maklumat bertanda (*) dan permohonan akan ditolak sekiranya gagal mengisi maklumat tersebut.
  • Semak laluan kerjaya yang berkaitan program tersebut sebelum membuat keputusan memilih program.
  • Tren permohonan dan penawaran boleh diakses semasa permohonan UPUOnline bagi mendapatkan gambaran persaingan serta peluang diterima untuk program yang dipilih.
  • Pemohon boleh memilih sehingga 12 program yang ditawarkan, susun mengikut keutamaan serta bersesuaian dengan minat dan kelayakan akademik. 
  • Semasa mengisi borang permohonan, pastikan maklumat dimasukkan dengan tepat dan lengkap.
  • Klik butang SIMPAN setelah selesai mengisi borang dan cetak slip permohonan sebagai bukti permohonan telah dilaksanakan. Simpan untuk rujukan pada masa hadapan.
  • Pemohon boleh membuat semakan dan kemaskini permohonan sehingga tarikh tutup permohonan

 

 Terdapat dua fasa permohonan iaitu fasa 1 hanya untuk pelajar lepasan SPM atau STPM dan dibuka pada awal tahun bermula Januari hingga Mac. Fasa 2 pula dibuka mulai Mei hingga Jun bagi memberi peluang kedua kepada pemohon yang gagal semasa permohonan di Fasa 1. Pemohon yang ingin mengemaskini maklumat boleh melakukannya secara dalam talian sekiranya terdapat sebarang pindaan.

Semakan permohonan boleh dilakukan dengan kaedah berikut:

  • Melalui portal rasmi UPU Online di https://upu.mohe.gov.my atau melalui pautan universiti awam seperti https://jpt.uum.edu.my/, https://jpt.utm.edu.my/, https://jpt.ums.edu.my/, https://jpt.unimas.edu.my/ serta https://jpt.umt.edu.my/.
  • Melalui aplikasi yang dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play Store iaitu aplikasi UPUPocket
  • Melalui pesanan ringkas (SMS) dengan format berikut iaitu: Taip UPU<jarak> RESULT<jarak>No Kad Pengenalan dan hantar ke 15888 (permohonan Universiti Awam (UA) dan Politeknik Premier. Taip: UPU <jarak> TVET <jarak> No Kad Pengenalan dan hantar ke 15888 (permohonan Politeknik Konvensional/METRO/ Kolej Komuniti/ ILKA (TVET)

Permohonan rayuan dibuka kepada pemohon yang gagal mendapat tawaran dan perlu dibuat dalam tempoh 10 hari daripada pengumuman keputusan. Pemohon perlu membuat rayuan melalui UPU Online sekiranya memohon untuk ke Universiti Awam (UA) atau Politeknik. Manakala bagi rayuan untuk ke Institusi Latihan Kemahiran Latihan (ILKA) serta Kolej Komuniti (KK) perlu membuat permohonan secara terus ke institusi yang terlibat tanpa melalui UPU Online.

Maklumat Lanjut

Pemohon boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian Hotline UPU di 03-8684 2363 atau melalui e-mel di [email protected].