MyTax LHDN merupakan sistem yang dibangunkan untuk menguruskan cukai pendapatan secara dalam talian. Ia membolehkan pembayar cukai menguruskan cukai pendapatan dengan lebih mudah, pantas dan efisien berbanding menggunakan borang secara manual. Dengan adanya aplikasi dalam talian ini, pengguna boleh mendaftar akaun, log masuk, pilih jenis cukai, isi maklumat serta hantar borang cukai dengan mudah kerana ianya boleh diakses pada bila-bila masa sahaja.
Cara Pendaftaran MyTax dan Log Masuk Kali Pertama
Pendaftaran MyTax boleh dilakukan melalui portal rasmi MyTax atau aplikasi yang dimuat turun di App Store dan Google Play Store.
Cara Mendaftar Akaun Kali Pertama
- Muat turut aplikasi MyTax atau layari portal rasmi MyTax LHDN di https://mytax.hasil.gov.my/
- Klik butang Daftar Akaun bagi pendaftaran akaun pengguna baharu
- Pilih jenis pengenalan diri (kad pengenalan/passport/nombor tentera/nombor polis)
- Masukkan maklumat yang diperukan dan klik butang Hantar
- Emel pengesahan akan dihantar ke alamat emel yang berdaftar
- Ikuti arahan seterusnya bagi pengaktifan akaun
Cara Log Masuk Akaun Kali Pertama
- Layari portal rasmi MyTax
- Masukkan nombor kad pengenalan/passport yang berdaftar
- Klik butang Seterusnya
- Sijil digital perlu didaftarkan terlebih dahulu bagi mengakses akaun sepenuhnya sekiranya sistem memaparkan notis Sijil Digital tidak wujud
Cara Mendaftar Sijil Digital
Individu yang telah membuat pendaftaran akaun perlu memuat naik sijil digital bagi membolehkan akaun pengguna dapat diakses sepenuhnya. Terdapat dua kaedah bagi pendaftaran sijil digital ini iaitu :
- e-KYC – Identiti wajah individu akan dibuat pengecaman melalui telefon bimbit
- Buka aplikasi MyTax dan klik butang Log Masuk kali pertama
- Masukkan nombor kad pengenalan dan ikuti langkah seterusnya, klik butang Teruskan
- Ambil gambar hadapan dan belakang kad pengenalan serta sahkan maklumat yang dipaparkan
- Kemudian, ambil gambar selfie sebagai proses pengecaman wajah
- Tetapkan kata laluan serta frasa keselamatan
- Klik butang Teruskan bagi melengkapkan proses pendaftaran
- e-CP55D – Pendaftaran melalui laman web MyTax
- Pada skrin pendaftaran, klik butang e-CP55D
- Semak terlebih dahulu maklumat yang dipaparkan, kemudian sahkan maklumat tersebut
- Klik butang Ya, sekiranya emel berdaftar yang dipaparkan adalah betul
- Klik butang Hantar dan sekiranya pendaftaran berjaya, pengguna akan menerima pautan pengaktifan melalui emel berdaftar
Cara Mengaktifkan Sijil Digital
Sijil digital yang dimuat naik ke dalam sistem perlu diaktifkan terlebih dahulu sebelum akaun MyTax boleh digunakan sepenuhnya. Cara mengaktifkan sijil digital adalah seperti berikut:
-
- Klik pautan pengaktifan akaun yang dihantar melalui emel
- Pada laman utama MyTax, masukkan nombor kad pengenalan dan klik butang Hantar
- Semak serta sahkan maklumat yang dipaparkan
- Cipta kata laluan yang unik, frasa keselamatan serta tekan butang Setuju
- Sistem akan memaparkan status berjaya bagi penjanaan sijil digital jika tiada sebarang masalah
- Anda boleh log masuk ke akaun MyTax menggunakan nombor kad pengenalan serta kata laluan yang berdaftar
Cara Mendapatkan Nombor TIN
Setiap individu yang layak dikenakan cukai akan mendapat nombor pengenalan cukai (TIN). Ia berfungsi sebagai nombor rujukan rasmi bagi semua urusan percukaian termasuklah semakan rekod, pemfailan cukai serta rujukan semasa berhubung dengan agensi Kerajaan. Nombor TIN boleh diperolehi melalui aplikasi e-Daftar di https://mytax.hasil.gov.my bagi kategori bukan warganegara, bukan pemastautin tetap dan pemastautin sementara. Bagi individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti salinan passport atau pas lawatan, salinan kad UNHCR serta lain-lain dokumen pengesahan identiti individu tersebut. Bagi pemastautin sementara pula, dokumen yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan pemastautin sementara (MyKAS).
Syarat Mendaftar TIN
- Individu berstatus bujang dengan pendapatan melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
- Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja menerima pendapatan melebihi RM 46,001 setahun
- Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun tiada keuntungan)
- Pekerja baharu dan dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
- Individu yang memiliki pendapatan yang boleh dikenakan cukai
- Individu yang membeli atau menjual hartanah
Permohonan TIN
- Individu warganegara dan pemastautin tetap, berumur 18 tahun dan keatas akan menerima nombor cukai pendapatan secara automatik melalui data Jabatan Pendaftaran Negara.
- Kategori individu selain di atas perlu membuat permohonan TIN melalui e-Daftar di portal MyTax, https://mytax.hasil.gov.my
- Sesebuah syarikat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan permohonan TIN adalah melalui portal MyTax LHDN. Pemilik syarikat perlu mendaftar melalui e-Daftar bagi mendapatkan nombor cukai pendapatan syarikat. Pendaftaran secara manual juga boleh dilakukan dengan berkunjung ke cawangan pejabat LHDN yang berhampiran.
- Nombor cukai pendapatan yang diterima oleh pembayar cukai pada atau sebelum 1 Januari 2022 dikenali juga sebagai nombor pengenalan cukai.
Cara Menyemak No TIN
- Semakan boleh dibuat melalui portal MyTax, log masuk akaun menggunakan nombor MyKad serta kata laluan. Pilih samada akaun individu atau syarikat, seterusnya klik pada maklumat Cukai. Nombor TIN akan dipaparkan; ATAU
- Hubungi LHDN melalui panggilan di talian 03-8911 1000 atau secara emel di [email protected]; ATAU
- Kunjungi cawangan pejabat LHDN yang berhampiran
Maklumat Lanjut
Pertanyaan dan sebarang maklumat lanjut yang diperlukan boleh dirujuk kepada pegawai yang bertugas iaitu melalui :
-
- HASiL Live Chat;
- Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100
(Luar Negara);
- Cawangan pejabat LHDN yang berhampiran

