TARIKH AKHIR PENDAFTARAN BR1M 2018 DILANJUTKAN SEHINGGA 25 JANUARI 2018

Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa tarikh akhir pendaftaran BR1M 2018 dilanjutkan sehingga 25 Januari 2018. Pengumuman ini telah dibuat oleh beliau sendiri melalui akaun Twitter nya. YAB Perdana Menteri turut menyeru agar masyarakat Malaysia yang masih belum mendaftar membuat pendaftaran secara online iaitu di laman web ebr1m.hasil.gov.my atau berkunjung ke cawangan pejabat LHDN yang berdekatan.

Terdahulu pendaftaran permohonan dan kemaskini BR1M hanya boleh dilakukan bermula 27 November 2017 sehingga 31 Disember 2017 sahaja. Bagi pemohon yang tidak layak menerima BR1M pada tahun sebelumnya, perlu membuat permohonan baru bagi BR1M 2018. Pasangan kepada penerima BR1M yang telah meninggal dunia juga perlu membuat permohonan baru sebelum tarikh 25 Januari 2018. Penerima sedia ada juga perlu mengemaskini sebarang perubahan maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon, status dan sebagainya sekurang – kurang sekali dalam tempoh tiga tahun. Ini bagi mengelakkan sebarang keciciran maklumat penerima BR1M serta bagi mengelakkan permohonan ditolak.

Pada tahun 2017, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 6.8 billion bagi BR1M 2017 dan seramai tujuh juta penerima yang layak telah menerima bantuan BR1M tersebut. Hanya pemohon yang layak sahaja akan menerima BR1M. Bagi memastikan pemohon benar – benar layak menerima BR1M, proses semakan dan verifikasi yang telus dilakukan melalui beberapa agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam negeri, Jabatan Akauntan Negara, Angkatan Tentera Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semasa pembentangan Bajet 2018, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan kadar maksima BR1M dikekalkan sebanyak RM 1,200 bagi penerima bantuan berdasarkan tiga kategori iaitu isi rumah berpendapatan RM 3,000 dan kebawah.

 

Kategori 1: Individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Kategori 2: Isi rumah berpendapatan bulanan RM3,001 – RM4,000.

Kategori 3: Isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Pemohon BR1M disarankan agar sentiasa merujuk kepada portal rasmi eBR1M bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan bantuan tersebut. Pelanjutan tempoh pendaftaran BR1M ini memberi peluang kedua kepada pemohon yang telah terlepas tarikh memohon. Ini juga merupakan langkah positif yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.