Pada tahun 1987, Kementerian Belia dan Sukan telah membuka satu peluang keemasan buat para usahawan belia yang ingin menceburi bidang perniagaan di mana pinjaman perniagaan disediakan buat mereka yang layak. Skim ini merupakan Tabung Amanah di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Ekonomi Belia.
Walaubagaimanapun, pinjaman perniagaan ini telah dihentikan sejak tahun 2002. Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Perancang Ekonomi telah membuka semula peluang pinjaman perniagaan ini buat usahawan belia di mana Skim Tabung Ekonomi Belia ini boleh diteruskan dengan sedikit pindaan pelaksanaan pemberian pinjaman tersebut. Kementerian Belia dan Sukan disaran oleh Unit Perancang Ekonomi agar membimbing para usahawan belia dalam bidang keusahawanan. Malah, pihak Kementerian haruslah melantik Institusi Kewangan yang berkelayakan bagi menguruskan pemberian serta kelulusan pinjaman kepada para usahawan belia. Skim Tabung Ekonomi Belia telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu iaitu YB Dato’ Azalina Binti Dato’ Othman Said pada 27 April 2006 di Institut Latihan Keselamatan Sosial, Bangi Selangor. Skim pinjaman perniagaan ini terbahagi kepada dua skim iaitu Skim Belia Niaga (SBN) dan Skim Belia Tani (SBT) di mana kedua – dua skim ini diberikan kepada golongan belia bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta mengembangkan perniagaan sedia ada. Institusi Kewangan yang telah dilantik oleh pihak kerajaan bagi menyediakan pinjaman perniagaan ini adalah Bank Kerjasama Rakyat bagi Skim Belia Negara (SBN) dan juga Agro Bank bagi Skim Belia Tani (SBT). Had pinjaman bagi kedua – dua skim ini bermula dari RM 5,000 sehingga RM 50,000. Terdapat dua kategori pemohon yang layak memohon skim bantuan pinjaman ini iaitu Kategori 1 terdiri daripada pemohon yang telah memulakan perniagaan sekurang – kurangnya 6 bulan dan mempunyai sijil perniagaan yang berkaitan. Kategori 2 pula merupakan pemohon yang baru ingin memulakan perniagaan dan mempunyai sijil yang berkaitan. Setiap pinjaman akan dikenakan sebanyak 4% bayaran perkhidmatan di atas baki setiap pinjaman.
Syarat – syarat Permohonan Skim Tabung Ekonomi Belia
- Pemohon yang ingin memohon pinjaman perniagaan ini haruslah berumur di antara 18 hingga 40 tahun.
- Pemohon telah mengikuti kursus keusahawanan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta telah menjalani Ujian Saringan Psikologi Usahawan
- Pinjaman adalah untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan
- Permohonan adalah secara individu dan perniagaan dilakukan sepenuh masa
- Sekiranya perniagaan dilakukan secara bersama isteri atau suami, hanya salah seorang sahaja yang layak memohon pinjaman
- Pemohon dan penjamin hendaklah bebas dari sebarang tindakan undang – undang serta bebas CTOS
- Pemohon lulusan dari IKTBN / IKBN akan diberikan keutamaan
Syarat – Syarat Penjamin
- Perlu sebanyak dua orang penjamin yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga atau kenalan rapat
- Berpendapatan kasar RM 1000 sebulan dan keatas (termasuk elaun)
- Penjamin tidak mempunyai sebarang masalah kewangan atau keberhutangan
- Penjamin bukan merupakan pegawai atau kakitangan yang dengan Kementeria Belia dan Sukan
- Penjamin tidak boleh menjadi penjamin kepada lebih dua orang peminjam pada satu – satu masa
Cara Memohon Pinjaman
- Permohonan hendaklah menggunakan borang permohonan pinjaman khas institusi kewangan yang dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan
- Lima Salinan kertas kerja perlu disertakan dan dimajukan kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) untuk semakan dan cop pengesahan bagi setiap permohonan. Hanya Pegawai Belia dan Sukan Daerah; atau Pembantu Pegawai Belia dan Sukan Daerah; Pembantu Tadbir Pejabat Belia dan Sukan Daerah yang layak menyemak dokumen
- Setiap salinan asal pinjaman perlu dihantar terus kepada institusi kewangan yang dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan
- Sebanyak 3 salinan permohonan perlu diserahkan kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) manakala pemohon perlu menyimpan 1 salinan borang sebagai rujukan
- 1 salinan permohonan perlu dimajukan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan ( Cawangan Pembangunan Ekonomi ), manakala 1 salinan lagi, perlu disimpan oleh PBSD
- Pemohon hanya boleh membuat satu pinjaman SBN / SBT sahaja pada satu – satu masa
- Permohonan boleh dilakukan secara online di portal Majlis Penggalakkan Ekonomi Belia (MPEB) iaitu www.mpeb.gov.my
- Permohonan juga boleh dilakukan secara manual dengan mengisi borang yang boleh didapati di Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri