Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membuat pengumuman kepada para penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) agar segera mengemaskini maklumat berkaitan akaun bank. Saranan ini dibuat agar penerima BPN mendapat bantuan kewangan dengan lebih mudah dan selamata iaitu melalui pengkreditan secara terus ke akaun bank. Pengumuman ini adalah dikhususkan kepada penerima BPN yang telah mempunyai rekod data percukaian namun masih belum menerima BPN, oleh itu pengemaskinian maklumat akaun bank adalah sangat penting.
Setiap maklumat akaun bank yang dikemaskini mestilah betul dan tepat supaya tidak berlaku keciciran pembayaran. Sekiranya maklumat tidak tepat dan tidak betul, pembayaran secara kredit ke akaun bank tidak dapat dilakukan oleh pihak LHDN, justeru penerima perlu menebus bantuan tersebut secara tunai di Bank Simpanan Nasional (BSN). Ini agak menyukarkan sekiranya tiada cawangan bank yang terdekat dengan penerima untuk membuat penebusan. Bagi membolehkan penerima menerima bantuan pada bulan Mei, penerima perlu mengemaskini maklumat akaun bank dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 30 April 2020. Kelewatan mengemaskini maklumat menyebabkan kelewatan bayaran bantuan. Bagi yang tidak tahu cara untuk mengemaskini maklumat akaun bank, berikut disertakan cara untuk melakukannya.
Cara Mengemaskini Maklumat Akaun Bank
Bagi penerima BPN yang sememangnya berdaftar dengan LHDN boleh mengemaskini maklumat akaun bank menggunakan langkah berikut :
- Layari portal LHDNM iaitu https://ez.hasil.gov.my/ci/
- Log masuk ke akaun anda menggunakan salah satu ID berikut : nombor kad pengenalan baru / nombor pasport / nombor tentera / nombor polis dan klik butang Hantar
- Klik butang Profile pada bahagian atas skrin
- Kemudian klik e-Kemaskini
- Kemaskini maklumat akaun bank pemohon dan simpan, proses kemaskini anda telah selesai
- Ketua isi rumah sahaja yang perlu kemaskini maklumat akaun bank sekiranya terdiri dari golongan M40 kerana bayaran dibuat kepada ketua isi rumah sahaja
- Sekiranya pasangan suami isteri memilih pentaksiran cukai bersama semasa mengemukakan BNCP, hanya pembayar cukai yang ditaksir sahaja perlu mengemaskini maklumat akaun bank
Adalah sangat penting bagi setiap pembayar cukai LHDN yang layak menerima BPN untuk mengemaskini maklumat akaun bank dalam sistem secepat mungkin sebelum 30 April 2020 untuk dikreditkan pada bulan Mei 2020. Sekiranya lewat mengemaskini maklumat tersebut, pembayaran yang akan dibuat juga akan menjadi lewat. Ini mungkin akan menjejaskan sumber kewangan penerima bantuan dalam menghadapi situasi yang sedang melanda negara ketika ini.
Pihak LHDN tidak menggunakan sebarang perkhidmatan dari pihak ketiga bagi urusan berkaitan bantuan yang disalurkan. Orang ramai dinasihatkan agar berhati – hati dengan pelbagai penipuan yang sering dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebarang maklumat berkaitan bantuan dan sebagainya yang melibatkan LHDN, hanya boleh didapati dari laman web rasmi LHDN. Penerima BPN juga tidak perlu melayan sebarang mesej yang meminta kod TAC kerana LHDN tidak menggunakan sebarang kod TAC bagi tujuan pembayaran BPN.
Pertanyaan lanjut juga boleh disalurkan kepada LHDN menggunakan salah satu cara berikut:
- Talian HASiL Care Line : 0389111000
- HASiL Live Chat
- Borang Maklum Balas LHDN di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/
- Facebook LHDN dan Twitter rasmi LHDN
Anda juga boleh merujuk kepada FAQ BPN di https://bpn.hasil.gov.my/Download/Faq/SoalanLazim(FAQ)BantuanPrihatinNasional(Kemaskini%2006042020).pdf.