Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) mula diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2012. Antara program yang dijanjikan buat rakyat Selangor adalah TUNAS iaitu Skim Bantuan Tadika Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah. Usaha ini dilihat sebagai satu langkah positif bagi menampung yuran Tadika anak – anak yang layak dibiayai. Walaupun bantuan yuran ini tidak diberikan sepenuhnya kepada anak – anak yang layak, namun ia dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh para ibu bapa anak-anak yang ingin memulakan alam persekolahan peringkat Tadika.
Kebanyakan Tadika masa kini rata – rata mengenakan yuran yang agak tinggi serta membebankan para ibu bapa yang kurang berkemampuan. Terdapat segelintir ibu bapa atau penjaga yang terpaksa mengikat perut demi melihat anak mereka melangkah ke alam Tadika. Justeru, demi melihat anak – anak kecil ini mendapatkan Pendidikan awal, kerajaan Selangor telah memperkenalkan program TUNAS bagi membiayai yuran untuk anak – anak Tadika.
Walaubagaimanapun, yuran ini hanya dibiayai sebanyak RM 50 sahaja bagi kanak – kanak yang layak dan disalurkan terus kepada Tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, setiap bulan melalui pembayaran yuran. Majlis Permuafakatan Tadika Selangor ini merupakan sebuah badan khusus yang bertanggungjawab mengawal selia piawaian sesebuah Tadika di seluruh Selangor. Keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Selangor kepada kanak – kanak yang layak ini kerana anak – anak kecil ini dikatakan aset penting kerajaan negeri Selangor di masa hadapan. Oleh itu, mereka layak merasai keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Selangor melalui program – program yang diwujudkan. Keprihatinan kerajaan Selangor terhadap rakyat membuktikan bahawa mereka merealisasikan janji yang telah dibuat kepada rakyat Selangor. Hasil yang diperolehi oleh kerajaan
Selangor dikongsi bersama rakyat tidak mengira umur, kaum, agama, bangsa serta fahaman politik namun mereka mestilah benar – benar layak untuk menerima bantuan yang diberikan. Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM 1.016 juta dari Geran Selangorku bagi tahun 2012. Bantuan ini turut ditawarkan kepada Tadika Perpaduan dan Kemas namun mereka enggan menyertai program ini. Skim Bantuan Tadika ini pada mulanya dikhususkan buat ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah sahaja. Namun, terdapat sedikit pindaan syarat dimana ibu bapa yang berpendapatan RM 2,500 ke bawah juga boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan tersebut. Antara syarat lain bagi memohon bantuan tersebut ialah kewarganegaraan di mana ibu atau bapa lahir di Selangor dan menetap di Selangor atau anak yang lahir di Selangor dan sedang menetap di Selangor.
Bagi ibu bapa yang bukan kelahiran negeri Selangor tetapi telah bermastautin di Selangor secara sah sekurang – kurangnya lima tahun, mereka juga boleh memohon bantuan tersebut dengan mendapatkan pengesahan pemastautin daripada Ketua Kampung / Penghulu / Pengerusi Taman Perumahan / Senator / ADUN / Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di Kawasan tempat tinggal. Pendapatan seisi rumah hendaklah di bawah RM 2,500.00. Ibu atau bapa samada bekerja atau tidak bekerja layak memohon dan permohonan ini hanya bagi anak yang berumur lima dan enam tahun sahaja. Borang permohonan skim TUNAS ini boleh diperolehi dari pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN. Skim Bantuan Anak Tadika ini diuruskan oleh syarikat yang dilantik oleh kerajaan Selangor iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) yang beroperasi di Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14, Shah Alam. syarikat ini bertanggungjawab menguruskan pelbagai skim Merakyatkan Ekonomi Selangor.