Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)

Apa itu SL1M ?

Pada 1 Jun 2011, kerajaan telah memperkenalkan satu program yang akan memberi manfaat kepada para graduan yang menganggur. Program ini dikenali sebagai Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diwujudkan bagi meningkatkan keupayaan serta kebolehan diri graduan dengan ilmu, kemahiran serta pengalaman bekerja. Pengisian program ini seterusnya akan meningkatkan peluang yang lebih cerah kepada para graduan untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Para graduan yang menyertai program ini perlu menjalani Soft-Skills Training serta On-The-Job Training di syarikat yang terpilih. Syarikat – syarikat yang terlibat dengan program SL1M ini perlu memberi pendedahan suasana kerja yang sebenar kepada para graduan supaya mereka mendapat pengalaman serta merasai sendiri suasana bekerja. Tempoh maksimum yang diberikan untuk melatih para graduan adalah selama 12 bulan, namun ianya turut bergantung kepada keperluan syarikat yang terlibat.

Setiap graduan yang menyertai program SL1M ini akan menerima elaun bulanan minimum RM1500 sebulan, walaubagaimanapun YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa elaun program SL1M dinaikkan kepada RM 2000 sebulan. Program SL1M juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa di mana Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu di Belanda dan Korea Selatan turut mengundang Sekretariat SL1M ke negara mereka untuk berkongsi pengalaman serta manfaat SL1M kepada mereka. Negara – negara lain seperti Oman, Sri Lanka dan Colombia turut tertarik dengan modul SL1M dan mengaplikasikannya di negara mereka.

Antara syarikat yang menawarkan program SL1M ini adalah seperti Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, CIMB, Maybank, MAS, MBSB dan banyak lagi syarikat – syarikat gergasi lain. Para graduan juga melayari laman web di atas untuk mendapatkan senarai penuh syarikat yang menyertai program SL1M ini.

Kelayakan

Program SL1M ini turut mempunyai syarat yang perlu dipatuhi oleh graduan sebelum membuat sebarang permohonan. Syarat permohonan SL1M adalah seperti berikut :

  • Warganegara Malaysia dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas (sebarang bidang)
  • Graduan lepasan IPTA atau luar negara
  • Graduan bekerja tetapi tidak setaraf dengan kelayakan
  • Hadir temuduga SL1M

Pelaksanaan program ini menunjukkan kesan positif apabila seramai 3,879 peserta telah mendapat pekerjaan tetap semasa tempoh program berlangsung. Hampir 43% berjaya diserap serta diterima bekerja di syarikat yang terlibat, manakala sebanyak 57% graduan yang terlibat telah mendapat tawaran pekerjaan dari syarikat luar. Kejayaan ini menunjukkan program SL1M ini sangat memberi manfaat kepada para graduan kita. Walaunbagaimanapun, terdapat sebilangan kecil dengan peratusan 0.7% tidak berjaya mendapat sebarang pekerjaan dalam tempoh program. Kegagalan ini sebenarnya berpunca daripada peserta itu sendiri. Peserta yang gagal ini dilihat gagal menguasai serta berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Malah mereka juga dilihat kurang berkeyakinan dalam melaksanakan tugasan yang diberikan dan tidak mahu bertanya dengan rakan sekerja. Ada juga sebilangan kecil peserta yang gagal ini tidak mempunyai sikap yang baik, malah tidak berbudi bahasa serta tidak menunjukkan daya saing yang bagus. Graduan yang gagal juga dilihat tidak mempunyai kelulusan akademik yang diperlukan serta tidak memenuhi kriteria jawatan yang ditawarkan.

Permohonan SL1m

Permohonan SL1M boleh dilakukan secara online melalui portal rasmi SL1M dan sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau menghubungi talian 03-88723351 / 3379. Para graduan tidak seharusnya melepaskan peluang yang telah diberikan oleh pihak Kerajaan dalam meningkatkan kemahiran diri serta mendapatkan pengalaman kerja yang sebenar.