Kedatangan Syawal yang tinggal beberapa hari sahaja lagi pastinya meresahkan segelintir masyarakat peneroka samada Felda, Felcra atau Risda.Tambahan pula, pendapatan yang terjejas berikutan wabak Covid-19 yang menular di pelosok dunia pastinya merunsingkan fikiran. Masakan tidak runsing, ketika wabak ini melanda seluruh dunia, harga pasaran global komoditi bagi getah dan kelapa sawit mulai merosot dan ia menjejaskan pendapatan para peneroka Felcra, Felda dan pekebun kecil RISDA seluruh negara. Mak sebab itu juga persiapan sambutan Aidilfitri belum dapat dibuat, lantaran kekangan kewangan yang melanda. Namun, kerunsingan serta kegusaran para peneroka ini dapat dilegakan dengan pengumuman yang telah dibuat oleh pihak kerajaan tempoh hari.
Kerajaan hari ini sememangnya prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh golongan peneroka. Oleh itu, kerajaan telah membuat pengumuman di mana para peneroka Felcra dan Felda yang berada dalam kategori B40 serta pekebun kecil RISDA masing – masing akan menerima bantuan sebanyak RM 300. Pemberian bantuan ini akan dimanfaatkan oleh seramai 495,000 peneroka dengan pecahan sebanyak 113,000 peneroka Felda, 90,000 peneroka Felcra dan 292,000 pekebun kecil RISDA yang sedang mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 148 juta bagi membolehkan peneroka menerima bantuan RM 300 ini.
Setiap peneroka yang layak menerima bantuan RM 300 ini akan mula mendapat bantuan mulai 18 Mei 2020. Walau kadar bantuan yang diberikan tidak terlalu banyak, namun ia merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban para peneroka dan pekebun kecil membuat persiapan menyambut kedatangan Aidilfitri. Para peneroka kategori B40 dan pekebun kecil pastinya mampu menarik nafas lega serta dapat mengukir senyuman dalam membuat persiapan Aidilfitri untuk keluarga tersayang. Biarpun negara sedang berhadapan dengan wabak Covid-19 serta pendapatan yang tidak menentu, namun pihak kerajaan tidak melupakan insan – insan yang memerlukan seperti golongan peneroka dan pekebun kecil.
Sambutan Aidilfitri tahun 2020 pastinya berbeza dengan tahun sebelumnya, namun ianya tetap diraikan bersama keluarga tersayang.