Rawatan Jantung Percuma Rakyat Selangor

Menerusi Belanjawan Negeri Selangor 2018, Kerajaan Negeri Selangor meneruskan Skim Peduli Sihat dengan mengutamakan akses kesihatan rakyat. Program ini telah diperluaskan kepada akses rawatan jantung dengan rawatan pakar yang berpatutan. Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan Negeri menerusi PKNS telah bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan Selgate Corporation untuk merealisasikan khidmat rawatan jantung percuma di Negeri Selangor. Justeru, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membiayai 500 pesakit jantung dari golongan berpendapatan rendah di Negeri Selangor.

Rawatan jantung ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri demi usaha membantu pesakit berkenaan merawat jantung dengan mengurangkan bebanan kos. Dengan pemberian kemudahan oleh Kerajaan Negeri ini, rawatan jantung berkualiti kini layak dinikmati oleh golongan pendapatan rendah.  Kerjasama strategik oleh pihak – pihak yang berkaitan telah dimeterai pada 31 Oktober 2017 untuk membina pusat perubatan di Seksyen 13, Shah Alam bagi khidmat pakar rawatan jantung.

Ini membuktikan Kerajaan Negeri Selangor sangat proaktif membantu golongan pesakit jantung dengan kemudahan yang disediakan kerana sedar bahawa penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu negara. Tambahan lagi, Kerajaan Selangor berani memperkenalkan program rawatan kesihatan asas melalui insiatif Peduli Sihat ini kerana merupakan antara cara terbaik untuk memperkukuhkan pengesanan awal dan rawatan yang bertepatan masa dalam menangani penyakit tidak berjangkit. Selangor mahu meningkatkan sumbangan kepada kekayaan negara serta mempunyai rakyat yang sihat dan bertenaga. Rakyat yang tidak sihat akan menghakis produktiviti dan menjejaskan prestasi ekonomi.

Di bawah Skim Peduli Sihat, selain khidmat rawatan jantung percuma, Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 44.1 juta bagi pelaksanaan Skim Kesihatan Bersepadu yang merangkumi suntikan vaksin pneumokokal, perkhidmatan penjagaan bagi pesakit kanser, penjagaan kesihatan mental, serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

Skim Peduli Sihat mendapat sambutan gemuruh oleh rakyat Negeri Selangor terutama mereka yang berpendapatan rendah dan memerlukan rawatan kesihatan asas. Sehingga 31 Oktober 2017, sebanyak 149,382 kad telah dikeluarkan kepada hampir 600,000 orang dari golongan berpendapatan rendah di Negeri Selangor. Pemegang kad Peduli Sihat ini adalah layak secara automatik mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma.