PROGRAM SUBSIDI UPAH DILANJUTKAN
Pada 27 Mac 2020 yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pakej PRIHATIN. Program Subsidi Upah (PSU) ini bertujuan membantu majikan menjalankan operasi perniagaan seperti biasa tanpa menjejaskan pendapatan bulanan pekerja akibat penularan wabak Covid19. Malah, ia juga sebagai bantuan kepada pekerja yang berada dalam golongan B40. Melalui program ini, kerajaan akan menyalurkan peruntukan kepada para majikan bagi membantu pekerja yang berpendapatan bulanan RM 4,000 dan ke bawah supaya mereka terus kekal di alam pekerjaan sedia ada. Subsidi upah di bawah PSU ini diberikan untuk tempoh tiga bulan sahaja. Walau bagaimana pun pada 5 Jun 2020, kerajaan telah membuat pengumuman untuk melanjutkan ia bagi tempoh tiga bulan lagi di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan tamat pada 30 September 2020.
Semasa Program Subsidi Upah fasa pertama, tidak semua majikan layak menerima bantuan ini kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan iaitu berdaftar dengan PERKESO sebelum tarikh 1 April 2020. Walau bagaimana pun, demi kesejahteraan majikan dan juga pekerja di negara ini, kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan serta serangan Covid19. Majikan yang masih terkesan boleh membuat permohonan sehingga 31 Disember 2020. Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak majikan bagi membolehkan mereka menerima Program Subsidi Upah 2.0 ialah mereka perlu berdaftar dengan PERKESO sehingga 31 Ogos 2020.
Ciri – Ciri Program Subsidi Upah 2.0
- Diberi kepada majian yang masih terjejas di mana syarikat mengalami pengurangan hasil sehingga 30 peratus berbanding tahun lepas
- Subsidi upah diberi sehingga 3 bulan dengan kadar RM 600 sebulan bagi setiap pekerja dengan pekerja maksima 200 orang
- Permohonan dibuka mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020
- Bagi yang belum pernah menerima bantuan ini, mereka layak menerima subsidi sehingga 6 bulan
- Kadar bayaran adalah sebanyak RM 600 sebulan
Syarat Kelayakan
- Syarikat / majikan mestilah berdaftar dengan PERKESO sehingga 31 Ogos 2020
- Pekerja mestilah berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerja (SIP) dan berpendapatan bulanan RM 4,000 dan ke bawah
- Majikan tidak dibenarkan membuang pekerja atau mengarahkan pekerja untuk cuti tanpa gaji dalam tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan
- Majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji pekerja sedia ada
Setiap majikan yang memohon bantuan ini perlu mengekalkan semua pekerja yang bergaji RM 4,000 ke bawah tanpa sebarang masalah. Walau bagaimana pun, sekiranya majikan ingin mengurangkan tempoh waktu bekerja atau pengurangan gaji, ianya adalah dibenarkan dengan syarat telah berunding dengan pekerja dan mendapat persetujuan kedua belah pihak.
Cara Membuat Permohonan
Majikan perlu membuat permohonan bagi pihak pekerja secara dalam talian di laman web rasmi PERKESO iaitu di http://www.perkeso.gov.my
Siapa yang Tidak Layak memohon?
- Majikan yang mendaftar dan beroperasi pada atau selepas 1 Januari 2020
- Majikan dan pekerja belum berdaftar atau mencarum dengan PERKESO sebelum 1 April 2020
- Pekerja berpendapatan bulanan melebihi RM4,000 sebulan
- Pekerja yang telah diberhentikan kerja
- Pekerja yang bekerja di sektor awam, badan berkanun, persekutuan dan negeri, semua badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
- Bekerja sendiri termasuk Freelancers
- Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate)
- Majikan yang menarik diri selepas mengemukan permohonan selepas atau pada 15 Jun 2020
Kaedah Pembayaran
- Sekiranya permohonan diluluskan, pekerja akan menerima subsidi tersebut dalam tempoh 7 hari dengan cara pengkreditan terus ke akaun bank penerima setelah majikan menerima bayaran daripada PERKESO
- Bayaran dibuat melalui majikan
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 2.4 bilion bagi menjayakan program ini dengan anggaran seramai 1.3 juta akan menerima manfaat melalui Program Subsidi Upah 2.0 ini berbanding semasa fasa pertama, di mana kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 4.03 bilion dan membabitkan seramai 2.2 juta pekerja. Pelaksanaan program ini diharap dapat meringankan beban majikan dan juga pekerja yang terkesan secara langsung dengan pandemik Covid19 ini tanpa perlu dibuang kerja oleh majikan yang terjejas sumber pendapatan mereka.