Program Rebat Bil Elektrik RM 40

Semasa pembentangan bajet 2019 yang lalu, pihak kabinet telah membuat pengumuman mengenai pemberian rebat elektrik sebanyak RM 40 kepada 200,000 pengguna yang layak. Ia merupakan program baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggantikan program terdahulu iaitu Program Rebat Bil Elektrik RM 20 yang telah pun tamat pada Disember 2018. Pemberian rebat ini menelan kos sebanyak RM 140 juta dan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 hingga Disember 2019. Program ini juga merupakan bantuan dari pihak kerajaan yang dilaksanakan secara bersasar khususnya kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar serta disahkan dalam sistem eKasih, seperti yang telah diumumkan semasa pembentangan bajet 2019 yang lalu.

Mulai 1 Januari 2019, sebanyak 66,600 ketua isi rumah yang telah mendaftar dalam sistem eKasih serta telah mendapat pengesahan, telahpun menerima bantuan rebat tersebut. Namun, masih terdapat seramai 142,200 ketua isi rumah yang belum mendaftar dengan eKasih. Melalui program ini, ketua isi rumah tidak perlu membayar sebarang bil elektrik yang dikenakan setiap bulan, selagi bil yang dicaj adalah kurang daripada RM 40. Walaubagaimanapun, sekiranya penggunaan adalah melebihi RM 40, maka ketua isi rumah perlu membayar lebihan bil yang dikenakan.

Cara pendaftaran

YB Yeo Bee Yin, Menteri Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berkata bahawa program ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti hidup serta kebajikan rakyat adalah terpelihara dan tidak terbeban dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Para pengguna boleh membuat semakan kelayakan bantuan rebat bil elektrik dalam sistem eKasih serta di portal MESTECC. Pengguna juga boleh menghubungi pihak secretariat secara talian dengan menghubungi My Government Call Centre (MyGCC) di talian 03 – 8000 8000. Selain itu juga, pengguna di semenanjung Malaysia boleh membuat semakan kelayakan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) samada berkunjung ke cawangan terdekat atau menghubungi secara talian di nombor 1-300-88-5454.

Bagi pengguna yang berada di negeri Sabah, Helpline Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) boleh dihubungi di talian 088-515 000 / 15454 manakala pengguna Sarawak pula boleh menghubungi Customer Care Sarawak Energy Berhad (SEB) di talian 1-300-88-3111. Pengguna berdaftar eKasih yang layak namun tidak memiliki akaun berdaftar dengan TNB,SESB atau SEB boleh membuat permohonan dengan mengisytiharkan akaun pihak ketiga melalui borang permohonan yang boleh diperolehi dari mana – mana Kedai Tenaga TNB, pejabat SESB atau pejabat SEB yang berhampiran dengan melampirkan sesalinan kad pengenalan sebagai dokumen sokongan. Walaubagaimana pun, bagi pengguna yang tidak layak dan ingin mendaftar dalam program eKasih, mereka perlu merujuk kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan (PPPN) / Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di peringkat negeri dan juga di Unit Pembangunan Pejabat Daerah.