Pendaftaran Muet 2016

myhc_12883

Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysian University English Test (MUET) yang diselia oleh Majlis Peperiksaan Malaysia adalah sebuah ujian bagi mengukur kemampuan seorang pelajar pra universiti di Malaysia dalam penggunaan Bahasa Inggeris. Calon yang ingin memasuki universiti awam atau swasta dan kolej perlu mendaftar bagi menduduki ujian ini. Di samping itu, pejawat awam juga menduduki ujian MUET sebagai peluang menaikkan pangkat mereka.

Kebanyakan universiti menetapkan syarat berbeza untuk pelbagai kos. Sebagai contoh, pelajar yang ingin memilih kos Undang-undang atau Perubatan perlu memperoleh Band 5 berbanding kos lain yang hanya memerlukan sekurang-kurangnya Band 3. Justeru itu, Majlis Peperiksaan Malaysia telah mengadakan MUET sebanyak 3 kali setahun iaitu pada bulan Mac, Julai, dan November. Pendaftaran bagi menduduki MUET yang dijalankan pada bulan November 2016 telah dibuka pada bulan Jun 2016 dan akan ditutup pada bulan Ogos 2016.

Calon di institusi pengajian tinggi awam boleh membuat pendaftaran melalui institusi mereka manakala calon swasta boleh membuat pendaftaran dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Yuran pendaftaran bagi Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia adalah sebanyak RM101. Calon boleh membuat pendaftaran MUET secara atas talian melalui laman sesawang Majlis Peperiksaan Malaysia. Penyata keputusan MUET boleh disemak melalui laman sesawang Majlis Peperiksaan Malaysia atau berhubung di tempat mereka membuat ujian dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Komponen, Pemarkahan, dan Pengredan

MUET merangkumi empat komponen iaitu Pendengaran dan Percakapan dengan masing-masing mempunyai markah maksimum sebanyak 45 markah, diikuti Pemahaman Pembacaan dengan markah maksimum 120 markah, dan Penulisan dengan markah maksimum 90 markah. Agregat markah bagi MUET adalah sebanyak 300. Pemarkahan akan digredkan dalam 6 Band dengan Band 1 merupakan Band yang paling rendah dan Band 6 yang paling tinggi.

Lokasi dan Tarikh Ujian

Pusat Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia yang diselia oleh Majlis Peperiksaan Malaysia sering dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan yang ditawarkan kepada pelajar Tingkatan 6, atau kolej matrikulasi, dan sebahagian institut pengajian tinggi termasuk awam, swasta, dan kolej separuh swasta. Tiga komponen iaitu Pendengaran, Pemahaman Pembacaan, dan Penulisan akan diberikan ujian pada hari yang sama kepada calon manakala Percakapan akan diuji secara individu dan kumpulan seramai empat orang dengan kertas ujian yang berlainan untuk kumpulan yang berlainan. Apabila pusat ujian menggunakan kertas ujian yang sama untuk komponen Pembacaan bagi setiap kumpulan, maka kumpulan diasingkan sehingga setiap kumpulan telah menjawab ujian atau kumpulan berada dalam bilik peperiksaan.

Pembelian Pin di Bank Simpanan Nasional

Calon yang menduduki MUET perlu membeli nombor pin di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) terlebih dahulu sebelum membuat pendaftaran sebagai pengguna portal.

Maklumat Lanjut

Segala maklumat lanjut MUET boleh disemak di laman sesawang Majlis Peperiksaan Malaysia.