MyFood@Wilayah

Sejak penularan wabak Covid-19 melanda negara, pihak kerajaan sentiasa peka terhadap isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Sememangnya ramai terkesan dengan wabak ini, namun setiap insan harus meneruskan kehidupan. Justeru, kerajaan telah memperkenalkan serta mewujudkan pelbagai skim bantuan untuk membantu golongan yang terjejas pendapatan semasa wabak ini melanda. Walau bagaimana pun, masih terdapat segelintir rakyat yang masih memerlukan bantuan.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sangat prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan Wilayah Persekutuan. Justeru, program MyFood@Wilayah telah diperkenalkan bagi membantu golongan miskin bandar dan B40 untuk meneruskan kelangsungan hidup semasa berlakunya pandemic Covid-19. MyFood@Wilayah merupakan salah satu inisiatif di bawah Cakna Kemiskinan selaras dengan dasar Wilayah Prihatin.  Program ini telah diilhamkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bagi membantu golongan miskin bandar dan B40 untuk meneruskan kelangsungan hidup semasa berlakunya pandemic Covid-19. 

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah membuat beberapa laporan berkala yang memperlihatkan kemiskinan bandar masih wujud di Wilayah Persekutuan terutamanya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan juga Perumahan Awam (PA). Perdana Menteri juga telah membuat kunjungan ke kawasan PPR dan PA yang berada di ibu kota bagi melihat sendiri situasi penduduk di kawasan ini. Hasil pemantauan beliau, perkara ini telah dibawa ke Kabinet dan ianya telah mencetus kepada pewujudan program MyFood@Wilayah. Kementerian Wilayah Persekutuan bersama – sama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut bekerjasama dalam menangani masalah kemiskinan bandar dengan memberi fokus terhadap langkah – langkah yang seharusnya diambil di dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah (MPPWP) juga seharusnya sama – sama memainkan peranan masing – masing dengan membuat tinjauan dan kaji selidik di semua kawasan PPR dan juga PA. Ini bagi memastikan tiada satu pun keluarga yang dibelenggu dengan kemiskinan tanpa bantuan dari pihak kerajaan. Seramai 32,000 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin bandar di 67 buah lokasi PPR dan juga PA seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima bantuan bekalan makanan bernilai RM 50 seunit. Ia terdiri daripada barangan keperluan asas harian untuk kegunaan seisi rumah dan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 1.6 juta bagi menjayakan program ini. Lokasi yang terlibat menerima MyFood@Wilayah ini terdiri dari PA Seri Melaka, PA Seri Kota, PA Desa Petaling, PA Seksyen 10 Wangsa Maju. PPR Kerinchi Lembah Pantai, PPR Beringin, PPR Seri Malaysia, PPR Jelatek, PPR Kampung Muhibah dan PPR Kampung Limau.