Keusahawanan Sosial (PROWELL)

Keusahawanan Sosial (Prowell) diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang yakin terhadap pembangunan inklusif tanpa sebarang diskriminasi latar belakang, umur, jantina serta keupayaan mental dan fizikal. Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan tonggak utama dalam penghasilan produk – produk berjenama Prowell yang terdiri dari penghuni institusi kebajikan, pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan juga penerima bantuan skim Geran Pelancaran di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. JKM yakin setiap individu kurang upaya perlu diberi peluang yang sama rata dalam membangunkan ekonomi negara serta pembangunan sosial. 

Tujuan Utama Prowell

 

Program Keusahawan Prowell ini diwujudkan bagi memanfaatkan setiap kemahiran dan bakat yang dimiliki oleh para pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), penghuni institusi kebajikan serta penerima bantuan Skim Geran Pelancaran. Selain itu, Prowell ini adalah sebagai salah satu inisiatif yang disediakan buat golongan OKU dalam meningkatkan taraf ekonomi yang lebih mapan seterusnya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa. Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan kepada prinsip keusahawanan yang dapat memberi nilai sosial kepada individu yang kurang berkemampuan.

Melalui program Prowell ini, individu yang berkelayakan akan dibantu dari segi kemudahan serta nasihat bagi menghasilkan produk yang bersesuaian. Bantuan yang diberikan termasuklah latihan, pembangunan produk, penyediaan kemudahan peralatan serta bahan mentah, pembungkusan serta penjenamaan bagi memasarkan produk yang telah dihasilkan kepada kumpulan sasar. 

Senarai Produk Yang Dihasilkan
Terdapat lima kategori produk yang dihasilkan melalui program keusahawanan prowell iaitu :

  1. i) Produk Ecostyle

Ia merupakan produk beg yang dihasilkan daripada sumber alam semulajadi. Beg ecostyle ini adalah hasil titik peluh dan usahasama dari golongan OKU dan juga penghuni institusi kebajikan.

 

  1. ii) Beg

Produk beg yang dihasilkan adalah hasil kraftangan yang unik berupa beg tote yang dianyam seperti corak ketupat, beg lipat songket serta clutch petang yang eksklusif.

 

iii) Hadiah & aksesori
Produk – produk yang terhasil dari buatan tangan sangat sesuai dijadikan sebagai cenderamata, hadiah untuk golongan korporat dan juga untuk koleksi peribadi. Aksesori yang dihasilkan oleh golongan etnik Sarawak antara produk yang unik dan terindah yang terdiri dari batik lukisan tangan hasil kerja golongan OKU yang begitu halus sekali

  1. iv)  Makanan Ringan / Snek
    Produk lain yang dihasilkan melalui prowell ini adalah makanan ringan yang tercetus melalui pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), penghuni institusi-institusi kebajikan dan penerima bantuan skim Geran Pelancaran.

    v) Food Truck
    Program Food Truck diperkenalkan buat golongan penghuni institusi kebajikan bagi menjadikan mereka seorang usahawan dalam industri makanan dan minuman yang menjadi trend masa kini.

Kesimpulan

Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa berusaha menjalin kerjasama serta perkongsian pintar dengan pelbagai agensi kerajaan dan korporat bagi mempromosi serta memasarkan semua produk prowell. Tahun 2020 merupakan tahun ke-9 penubuhan program prowell dan ianya semakin mendapat perhatian ramai terutamanya produk berkonsep batik dan songket.

 

Maklumat Lanjut

Orang ramai yang ingin mendapatkan produk – produk prowell boleh menghubungi pihak prowell di talian 03-8323 2366/2370.