Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) di bawah tanggungjawab Jabatan Pembangunan Wanita merupakan satu program yang dijalankan bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup ibu tunggal. Melalui program ini, Ibu tunggal akan memperolehi kemahiran dan latihan asas dalam bidang usahawan serta membantu meningkatkan potensi untuk berdikari setelah memperoleh kemahiran di samping meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut.
Program IKIT ini juga secara langsung memberikan peluang kepada ibu tunggal untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mengenai pelbagai bidang kemahiran melalui kelas – kelas pembelajaran yang dianjurkan. Selain itu juga, golongan tersebut berupaya membina keyakinan diri untuk menceburi bidang perniagaan dengan ilmu asas perniagaan yang didedahkan. Secara tidak langsung, program ini memberi pelyang kepada ibu tunggal yang tidak berkemampuan untuk menyara kehidupan dengan menngenalpasti kekuatan dan kelemahan diri dalam perusahaan yang ingin diceburi.
Jabatan Pembangunan Wanita menggariskan tiga tahap tindakan yang bertujuan membangunkan kapasiti, ekonomi dan kualiti hidup wanita. Ketiga-tiga tindakan ini saling berhubung antara satu sama lain. Sebagai langkah jangka sederhana dan panjang untuk membangunkan ekonomi wanita, Jabatan Pembangunan Wanita memberikan tumpuan terhadap aspek pembangunan kapasiti golongan wanita termasuk ibu tunggal.
Seramai 2,359 daripada 5,082 peserta Program IKIT telah berjaya menjadi usahawan sejak inisiatif itu dilaksanakan pada tahun 2008 sehingga 31 Disember 2015. Secara purata, pendapatan bulanan peserta program itu meningkat sebanyak 50 peratus daripada RM500 kepada RM750 selepas enam bulan menyertainya. Ini menunjukkan program ini memberikan impak serta kesan yang sangat positif kepada ibu tunggal dalam meningkat kualiti hidup serta dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Secara kesimpulannya, program ini merupakan salah satu inisiatif dalam usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam projek ekonomi sejajar dengan matlamat NKRA dan RMK-9 iaitu untuk mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan wanita melalui penyertaan dalam aktiviti perniagaan keusahawanan. Bagi mana – mana wanita yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi urus setia di pejabat Jabatan Pembangunan Wanita negeri masing – masing.