GERAN KHAS PRIHATIN (GKP) 2.0

 

Penularan wabak Covid19 sememangnya memberi kesan kepada seluruh dunia termasuklah negara Malaysia. Bagi membendung virus ini dari terus menular, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak membenarkan mana – mana syarikat atau perusahaan beroperasi. Penutupan sementara premis telah menjejaskan pendapatan syarikat / majikan dan juga pekerja. Oleh yang demikian, kerajaan telah memperkenalkan Geran Khas Prihatin (GKP) bagi membantu meringankan beban kewangan bagi para peniaga mikro di bawah pakej PRIHATIN PKS Tambahan. 

Geran Khas Prihatin diberikan kepada kumpulan peniaga mikro dengan kadar bantuan sebanyak RM 3,000 dan dibayar secara one off. Permohonan mendapatkan geran ini telah dibuka mulai 1 Mei 2020 sehingga 15 Mei 2020. Pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 1.63 bilion pada fasa pertama dengan memanfaatkan seramai 545 ribu peniaga kecil. Bantuan geran ini diberikan agar para peniaga dapat meneruskan kehidupan semasa melawan virus Covid19 ini.

Biarpun kerajaan telah melaksanakan program ini pada fasa pertama, namun terdapat segelintir peniaga mikro yang gagal mendapat geran ini biarpun mereka berkelayakan. Ini kerana ramai di antara peniaga mikro terlepas pandang dengan bantuan geran ini menyebabkan mereka terlewat untuk mengemukakan permohonan. Justeru, kerajaan telah bersetuju membuka semula permohonan GKP ini mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020. Geran ini terbuka kepada semua peniaga mikro yang berdaftar atau mempunyai lesen perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos 2020. Bagi permohonan yang berjaya, mereka akan menerima bantuan mulai 25 November 2020.

Syarat-syarat kelayakan 

  • Merupakan warganegara Malaysia
  • Pendapatan tahunan mestilah kurang daripada RM300,000
  • Pekerja kurang daripada 5 orang dan tidak termasuk pemilik
  • Mestilah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri / Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum 31 Disember 2019
  • Perniagaan masih aktif 
  • Semakan silang data dengan agensi yang dilantik oleh MOF

Cara Membuat Permohonan 

  • Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di https://gkp.hasil.gov.my
  • Tarikh tutup permohonan adalah 31 Oktober 2020
  • Tiada permohonan secara manual

 

Bantuan geran ini dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebelum membuat permohonan, pemohon perlu memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Setiap permohonan akan disemak dengan terperinci dan semakan silang  data akan dibuat menerusi agensi yang dilantik oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Geran Khas Prihatin kali ini memperuntukkan hampir RM 600 juta dan bakal memanfaatkan seramai 200,000 peniaga mikro. Bayaran akan dibuat secara pengkreditan terus ke akaun bank pemohon yang masih aktif. Sekiranya akaun bank pemohon tidak aktif, pemohon perlu mengaktifkan akaun bank tersebut terlebih dahulu sebelum membuat permohonan. Ini bagi memudahkan wang geran disalurkan kepada pemohon tanpa sebarang masalah dan juga kelewatan. Peniaga mikro yang berdaftar dengan SSM tetapi belum mendaftar dengan LHDN masih boleh dan layak membuat permohonan.

Maklumat Lanjut

Pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan GKP ini boleh diperolehi melalui talian Hasil Care Line di 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara), melalui HASiL Live Chat atau borang maklum balas di portal rasmi serta media sosial LHDN.