ELAUN BULANAN BAGI OKU

ELAUN PEKERJA ORANG KURANG UPAYA (EPOKU)

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengumumkan bahawa Orang Kurang Upaya (OKU) layak menerima elaun bulanan sama ada OKU yang tidak bekerja, bekerja atau OKU yang terlantar dan sakit yang kronik. Bantuan sebanyak RM200 setiap bulanan diberikan kepada OKU yang tidak bekerja manakala bantuan sebanyak RM450 setiap bulan diberikan kepada OKU yang bekerja. Bagi OKU yang terlantar atau mempunyai sakit kronik akan memperoleh bantuan sebanyak RM 300 setiap bulan.

Ciri-Ciri Bantuan OKU

Bantuan yang diberikan tersebut menunjukkan bahawa elaun yang diberikan kepada golongan OKU yang bekerja lebih tinggi berbanding kepada OKU tidak bekerja sebagai galakan untuk mendorong golongan tersebut bekerja. Dalam hal ini, KPWKM telah menyediakan pelbagai kemudahan melalui Program Perkhidmatan Job Coach (PPJC) untuk memberi latihan dan elaun yang lebih tinggi. Ini adalah sebagai salah satu inisiatif kepada golongan OKU untuk menggalakkan mereka bekerja. Daripada jumlah keseluruhan 420,000 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kira-kira 13,000 kini bekerja di sektor swasta, manakala 3,400 bertugas di sektor awam.

Bantuan kepada OKU yang terlantar atau mempunyai penyakit kronik sangat penting diberikan bertujuan membantu meringankan bebanan perbelanjaan penjagaan yang dihadapi oleh keluarga penjaga. Hal ini juga menggalakkan penjagaan yang lebih sempurna, mempertingkatkan kualiti hidup serta mengelak atau mengurangkan kemasukan golongan berkenaan ke Institusi Kebajikan; dan kesejahteraan keluarga akibat ketidakupayaan keluarga menjaga keperluan kebajikan mereka.

Permohonan Elaun

Permohonan elaun bantuan kepada OKU boleh dilakukan melalui mana – mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Daerah, Jajahan atau Bahagian. Golongan OKU yang ingin memohon bantuan hendaklah menggunakan borang permohonan JKM18 yang boleh didapati Pejabat Kebajikan Masyarakat di seluruh Negara atau memuat turun borang tersebut di laman web sesawang. Permohonan akan diproses dalam tempoh dua (2) minggu dan keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam masa satu (1) bulan dari tarikh permohonan yang lengkap diterima.

Dokumen pendaftaran

Berikut merupakan senarai dokumen sokongan yang perlu dikemukakan semasa memohon bantuan bulanan iaitu :

  1. Salinan Kad Pengenalan Pemohon
  2. Salinan Kad Pengenalan / Sijil Kelahiran Ahli Keluarga Yang Tinggal Bersama
  3. Salinan Kad Oku/Slip Pendaftaran Sementara (Bagi Pemohon Oku)
  4. Laporan Perubatan Dari Hospital Atau Klinik Kesihatan Kerajaan (Jika Berkaitan)
  5. Penyata Pendapatan Atau Surat Pengesahan Pendapatan Dari Majikan/ Surat Akuan Pendapatan (Jika Bekerja Sendiri)
  6. Lain-Lain (Jika Ada):Socso / Kwsp / Pencen / Buku Pelaburan

 

OKU digalakkan berdaftar dengan JKM supaya Kerajaan dapat mengumpul data mengenai taburan OKU di negara ini, membolehkan Kerajaan merancang program – program latihan dan pendidikan yang bersesuaian, kemudahan – kemudahan yang boleh dinikmati oleh golongan OKU dapat dicipta dan disediakan, supaya kerajaan dapat mengenalpasti jenis – jenis kecacatan OKU dan menyediakan program pemulihan bagi golongan OKU.