Kerajaan hari ini sekali lagi telah membuat pengumuman akan memberikan bantuan tambahan sebanyak RM 50 kepada rakyat Malaysia dalam bentuk ewallet serta tambahan RM50 dalam bentuk baucar, potongan harga dan pulangan tunai turut diberikan oleh penyedia ewallet. Insentif yang bernilai RM750 juta ini merupakan salah satu inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri akan dinikmati oleh golongan B40 dan M40 yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Bantuan ewallet RM50 merupakan bantuan tambahan kali kedua, di mana bantuan berbentuk ewallet RM30 telah diberikan pada rakyat Malaysia awal tahun 2020. Walau bagaimana pun, bagi melayakkan rakyat Malaysia menerima bantuan insentif RM 50 ini, mereka perlu terlebih dahulu memuat turun aplikasi MySejahtera. Dengan memuat turun aplikasi MySejahtera ini, ia secara tidak langsung dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha menangani wabak Covid19 dari terus menular. Aplikasi ini juga membolehkan pengesanan orang ramai di premis perniagaan melalui kod QR yang begitu mudah digunakan. Tindakan pantas lebih mudah diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti serta memaklumkan kontak rapat individu sekiranya berlaku kes jangkitan Covid19 dalam masyarakat. Kredit RM50 dijangka dikreditkan terus ke ewallet pengguna yang layak mulai bulan Julai 2020.
Program PENJANA ini yang bermula dari bulan Julai hingga September 2020 diharapkan dapat memberi manfaat kepada hampir 15 juta rakyat Malaysia. Ia dibangunkan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini berkaitan Covid19 serta memudahkan pengunjung mengimbas kod QR semasa daftar masuk premis perniagaan bagi menggantikan sistem manual. Inisiatif ewallet RM50 ini hanya diberikan kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang berpendapatan tahunan kurang dari RM100,000 setahun. Penerima kredit ewallet RM50 hanya boleh menggunakan wang tersebut bagi membuat pembelian luar talian dan secara fizikal sahaja berbanding insentif eTunai Rakyat yang membenarkan pembelian secara atas talian. Penggunaan ewallet ini adalah sangat bertepatan dengan situasi hari ini yang lebih menggalakkan penggunaan kaedah bayaran tanpa sentuh atau contactless payment selaras dengan saranan kerajaan.
Aplikasi MySejahtera ini boleh dimuat turun menggunakan platform Google Play Store, Apple AppStore dan Huawei AppGallery. Tiga pengendali utama ewallet terpilih untuk program ini terdiri dari Touch n Go ewallet, Boost dan GrabPay.
CARA MENDAFTAR EWALLET
Bagi yang belum memiliki ewallet, anda boleh memuat turun salah satu aplikasi berikut menggunakan telefon pintar samada menggunakan platform Google Play Store, Apple AppStore atau Huawei AppGallery mengikut kesesuaian.
- Touch n Go eWallet
- Muat turun aplikasi Touch n Go eWallet
- Daftar maklumat peribadi anda serta membuat pengesahan akaun
- Selesai
- Pengguna hanya perlu menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan berkenaan cara menebus RM 50 serta tarikh penebusan
- Boost
- Muat turun aplikasi Boost
- Masukkan maklumat yang diperlukan serta ikuti langkah seterusnya
- Upgrade kepada Boost Premium dan sahkan akaun Boost
- Tunggu sehingga pengumuman rasmi dari kerajaan sebelum membuat penebusan RM50
- GrabPay
- Muat turun aplikasi Grab
- Aktifkan aplikasi GrabPay yang terdapat dalam aplikasi Grab
- Masukkan nama dan nombor kad pengenalan pemohon
- Sertakan gambar kad pengenalan pemohon sebagai tujuan pengesahan akaun
- Klik butang Hantar dan pemohon akan menerima satu notifikasi pengesahan jika maklumat yang dimasukkan adalah betul dan tepat
- Kredit RM50 boleh ditebus setelah kerajaan membuat pengumuman rasmi
Setiap orang hanya layak menebus RM50 sekali sahaja menggunakan salah satu aplikasi yang dinyatakan. Sistem secara automatik akan menolak penebusan yang dihantar lebih dari sekali.