BSH Fasa 3 , 2018

Bantuan Sara Hidup yang diteruskan oleh Kerajaan hari ini sememangnya banyak memberi manfaat kepada 4.1 juta penerima bantuan. Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat pengumuman bayaran Bantuan Sara Hidup 2018 fasa ketiga akan dibuat mulai 15 Ogos 2018.

Pembayaran ini akan melibatkan seramai 4.1 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM 1.6 bilion. Selaras dengan hasrat kerajaan hari ini, Menteri Kewangan turut menyatakan bahawa pembayaran elaun tersebut di bulan Ogos dapat membantu meringankan beban rakyat bagi melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha yang dijangka pada 22 Ogos 2018. Seperti mana pembayaran terdahulu, pembayaran bantuan pada kali ini mengikut prosedur yang sama di mana pembayaran akan dikreditkan secara terus ke akaun bank penerima bermula 15 Ogos 2018.

Walau bagaimanapun, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, mereka akan menerima surat kelulusan yang akan diposkan ke alamat penerima dan seterusnya ia boleh ditunaikan di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berhampiran. Lim Guan Eng menjelaskan bahawa pemberian ini turut membuktikan bahawa Kerajaan tidak berdepan dengan masalah kebankrapan seperti yang telah didakwa oleh sesetengah pihak.

Ini juga menunjukkan bahawa Kerajaan masih mampu memberikan bantuan kepada rakyat biarpun tiada lagi hasil  Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sejak 1 Jun 2018. Sebarang maklumat atau pertanyaan berkenaan pembayaran peringkat ketiga ini boleh diajukan kepada sekretariat Bantuan Sara Hidup melalui emel [email protected] atau hubungi talian bebas tol iaitu 1-800-88-2716.

Lim Guan Eng turut  menjelaskan bahawa Kerajaan telah menyediakan subsidi petrol sehingga akhir tahun dengan jumlah RM 3 bilion bagi menstabilkan harga Ron95 dan juga diesel masing – masing pada tahap RM2.20 seliter dan RM 2.18 seliter biarpun harga minyak petrol antarabangsa telah meningkat sehingga 42 peratus kepada US$74 setong berbanding harga sebelum ini iaitu US$52 setong.