BR1M PERINGKAT KEDUA AKAN DIBAYAR MULAI 5 JUN

PETALING JAYA: Dalam usaha membantu dan meringankan beban rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak, Kerajaan telah mengumumkan untuk mengawalkan pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Peringkat Kedua pada 5 Jun 2017.

Kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada 31 Mei 2017, semalam. Keputusan itu dibuat memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia yang rata – ratanya penduduk beragama Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 25 Jun 2017.

“Agihan ini juga akan melibatkan penerima BR1M yang telah menerima pada peringkat Pertama iaitu pada bulan Februari yang lalu”

“Bagi mana – mana individu yang membuat permohonan rayuan juga akan diagihkan di mana dijangka pada 17 Jun 2017”

“Kerajaan berharap dengan pelaksanaan agihan BR1M tersebut akan membantu Rakyat membuat persiapan dan memberi keperluan bagi menyambut Hari Raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bayaran BR1M tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima seperti mana sebelum ini.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, surat kelulusan BR1M akan dihantar secara pos ke alamat kediaman dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran,” tambah beliau lagi.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau emel kepada [email protected].

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman blognya, www.najibrazak.com berkata sebanyak 5,153,238 permohonan BR1M telah diluluskan kerajaan setakat ini.  

Perdana Menteri berkata sebanyak 3,123,950 permohonan lagi masih dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan.

Menurut Najib sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1,200 manakala 243,434 bagi bantuan RM900 dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450.

Bagi BR1M tahun ini, bantuan yang telah diperkenalkan sejak 2012 itu akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada Februari, Jun dan Ogos 2017.