Pada tahun 2016, Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) telah diluluskan semasa pembentangan Bajet 2017. Bantuan ini diberikan kepada setiap pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dengan kadar RM 100 seorang, di mana pendapatan bulanan ibu bapa atau penjaga mestilah berjumlah RM 3,000 dan ke bawah. Bantuan ini bagi mengurangkan bebanan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan murid pada tahun 2017. Setelah menyaksikan kejayaan kerajaan Malaysia dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat terutamanya pelajar sekolah, kerajaan sekali lagi mengekalkan momentum kebajikan rakyat dengan pemberian bantuan yang dikenali pula sebagai Bantuan Awal Persekolahan (BAP). Bantuan Awal Persekolahan ini menelan belanja sebanyak RM 326 juta menerusi Bajet 2018 bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa atau penjaga bagi penyediaan kelengkapan persekolahan anak – anak mereka. Skim bantuan ini juga telah diluluskan semasa pembentangan Bajet 2018. YAB Perdana Menteri Malaysia telah membuat pengumuman tersebut sewaktu ucapan Bajet 2018 dan ternyata ia memberi impak positif buat rakyat Malaysia.
Kira – kira 3.2 juta pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima layak menerima manfaat yang diberikan oleh pihak kerajaan pada tahun 2018 ini. Pelajar – pelajar yang layak menerima bantuan ini termasuklah pelajar di Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kebangsaan (SBK) di seluruh negeri. Kriteria kelayakan bantuan ini adalah berdasarkan pendapatan kasar bulanan ibu bapa atau penjaga murid iaitu dibawah RM 3,000 sebulan dan tiada sebarang permohonan yang perlu dilakukan. Walaubagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu mengemukakan beberapa dokumen bagi tujuan pengesahan pendapatan. Bagi ibu bapa atau penjaga yang mempunyai majikan, mereka haruslah menyediakan dokumen yang diperlukan seperti slip gaji terkini ataupun penyata cukai pendapatan. Ibu bapa yang bekerja sendiri ataupun tidak mempunyai sebarang slip gaji atau penyata pendapatan, haruslah mengisi Borang Pengesahan Pendapatan yang telah disahkan oleh salah seorang Pegawai Kerajaan Kumpulan A (Pengurusan & Profesional) / Pengerusi JKKK / Penyelia Pembangunan Mukim / Penghulu / Penggawa ataupun Ketua Kampung. Selain itu juga, murid atau pelajar yang layak menerima bantuan mestilah merupakan warganegara Malaysia. Sekiranya ibu bapa atau penjaga gagal mengemukakan dokumen lengkap, pihak sekolah berhak menangguhkan pengagihan bantuan sehingga dokumen tersebut lengkap diserahkan.
Pengagihan bantuan ini akan dilakukan dalam tempoh 14 hari bekerja sebaik sahaja peruntukan tersebut diperolehi oleh pihak sekolah dan para ibu bapa perlu mendapatkan butiran lanjut mengenai pengagihan wang bantuan tersebut daripada pihak sekolah kerana tarikh penyerahan wang tertakluk kepada pihak pentadbiran sekolah.Setiap pelajar yang layak menerima bantuan akan menerima sebanyak RM 100 seorang.
Skim bantuan ini seharusnya diteruskan setiap tahun bagi pelajar yang layak kerana ia dapat meringankan bebanan para ibu bapa atau pelajar memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari. Ia juga dilihat sebagai pemangkin kepada para pelajar agar sentiasa bersemangat untuk meneruskan pelajaran dengan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan.