Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menyatakan hasrat kerajaan Pakatan untuk mengurangkan secara berperingkat elaun Bantuan Rakyat 1Malaysia sebelum memansuhkan bantuan tersebut sepenuhnya. Beliau berkata bahawa pihak kerajaan akan membuat penjelasan lebih lanjut kepada rakyat berhubung pengurangan elaun BR1M secara berperingkat dan akhirnya ia akan dihentikan sepenuhnya. Rakyat akan mengetahui objektif sebenar pengurangan serta pemansuhan BR1M ini. Pengurangan ini tidak dilakukan secara drastik dan dilakukan berperingkat agar rakyat tidak terlalu terkesan dengan pemansuhan bantuan ini. Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa rakyat perlu berdiri di atas kaki sendiri dan berusaha memperbaiki taraf kehidupan masing – masing. Rakyat juga disarankan tidak terlalu bergantung kepada bantuan daripada kerajaan seperti mana kerajaan terdahulu yang terlalu memanjakan rakyat melalui bantuan – bantuan yang disalurkan kepada rakyat Malaysia. Bagi Tun, rakyat akan terus menjadi lemah dan tidak berusaha ke arah yang lebih baik kerana sentiasa diberikan bantuan untuk meneruskan kehidupan tanpa melakukan sebarang pekerjaan.
Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan pada hari ini tidak akan memanjakan rakyatnya dengan memberi bantuan sewenang – wenangnya tetapi rakyat akan disogokkan dengan peluang pekerjaan yang lebih baik menerusi pelaburan domestik serta pelaburan asing. Peluang pekerjaan ini merupakan langkah yang lebih tepat untuk membantu menaikkan taraf ekonomi rakyat supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik. Situasi ini dapat mengajar rakyat untuk lebih berusaha dan berdikari serta tidak mengharap kepada bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan.
BR1M yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu bermula pada tahun 2012 telah diberikan kepada isi rumah yang berpendapatan sebanyak RM 3,000 dan kebawah akan menerima bantuan sebanyak RM 1,200, manakala bagi yang berpendapatan RM 3,000 dan RM 4,000 pula akan menerima bantuan sebanyak RM 900.00 setahun. Bagi individu yang berpendapatan di bawah RM 2,000.00 akan menerima bantuan sebanyak RM 450.00. Jumlah perbelanjaan yang harus ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM 6.8 bilion bagi bayaran elaun bantuan ini yang dibuat kepada seramai 7.2 juta penerima. Sebelum ini juga kerajaan Pakatan Harapan telah membuat pengumuman menggantikan elaun bantuan BR1M dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) semasa membuat peralihan kuasa setelah berjaya memenangi Pilihanraya Umum ke – 14 (PRU-14) pada tahun ini.