9,000 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Akan Dibina Tahun Ini

SEMPORNA, 23 Mei  — Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam proses pembinaan 9,000 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh Negara pada tahun ini. Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengeluarkan kenyataan bahawa terdahulu SPNB telah membina 40,0000 unit RMR1M di mana pihak Kerajaan telah memberikan bantuan dalam bentuk subsidi sebanyak RM20,000.

Berdasarkan statistik permohonan, ramai penduduk Malaysia memohon bagi menduduki RMR1M yang dibina tersebut. RMR1M sangat popular dan mendapat sambutan yang hebat sehingga April tahun lalu, sebanyak 87,919 penduduk telah memohon RMR1M termasuk sebanyak 3,005 adalah penduduk Sabah.

Daripada jumlah keseluruhan permohonan di Sabah, iaitu 3,005 permohonan, sebanyak 1,106 permohonan diluluskan di mana 894 unit rumah siap sepenuhnya, 140 unit masih dalam pembinaan dan 72 unit masih di peringkat proses dokumen perjanjian. Selain itu, sebanyak 365 permohonan masih menunggu kelulusan.

Setiap pemohon yang layak akan menerima subsidi pembinaan berjumlah RM20,000 dengan dua peratus subsidi kadar faedah pinjaman.

SPNB juga dalam perancangan untuk memberi keutamaan kepada penduduk di Sabah dan Sarawak dalam membina lebih banyak unit RMR1M.

Kenyataan tersebut telah dikeluarkan kepada pemberita oleh Pengerusi SPNB dalam Majlis Pelancaran ‘Jom Bantu Rakyat’ di Semporna, Sabah. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ketua Gerakan Umno Semporna dan Senallang, Datuk Seri Nasir Sakaran.