Tanggal 13 Oktober 1976, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan sebuah Yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Ia telah diperbadankan di bawah Trustee (Incorporation) Act 1952. Tiga teras utama YaPEIM terdiri dari Bisnes, Sosial Bisnes dan Pembangunan Sosioekonomi & Amal Jariah.
Selaras dengan itu, YaPEIM telah mewujudkan satu inisiatif baru di bawah Pembangunan Sosioekonomi & Amal Jariah yang dikenali sebagai Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) yang akan memberi manfaat kepada seramai 40,000 pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan kiha pelajar sekolah di seluruh negara dengan penglibatan serta penyertaan rakan strategik yang terdiri dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), syarikat korporat dan pihak – pihak yang berkenaan.
YaPEIM sendiri memperuntukan dana awal sebanyak RM 1 juta bagi merealisasikan pelaksanaan Inspirasiku dan turut mensasarkan jumlah kutipan terkumpul sebanyak RM 40 juta. Sumbangan dari syarikat – syarikat korporat dan pihak – pihak tertentu adalah sangat dialu – alukan dan wang dana yang diterima akan dimasukkan ke dalam TABUNG KEBAJIKAN DAN PELAJARAN YaPEIM. Para penyumbang juga akan turut mendapat pelepasan cukai di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Seramai 14,770 pelajar sekolah akan menerima manfaat di 3,374 lokasi yang berbeza. Malah, inisiatif bantuan ini memberi manfaat kepada 203,508 orang pelajar secara keseluruhan.
Syarat – syarat Am
- Permohonan mestilah di atas nama ibu / bapa / penjaga
- Merupakan warganegara Malaysia
- Telah mendapat surat tawaran dari mana – mana sekolah / IPT samada di dalam atau luar negara
- Pendapatan isi rumah mestilah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemaskini Negara bagi Kategori B40
Kadar Bantuan
- Pelajar sekolah sehingga RM 500
- Pelajar IPT sehingga RM 1000
Peringkat Pengajian
- Sekolah Rendah / Sekolah Menengah
- Peringkat Sijil / Diploma / Ijazah
Dokumen Yang Diperlukan
- Borang Permohonan yang lengkap diisi beserta tandatangan
- Salinan kad pengenalan pemohon
- Salinan kad pengenalan suami, isteri dan tanggungan (tidak termasuk yang telah berkahwin / bekerja)
- Salinan sijil kelahiran anak / surat pengangkatan JPN / akuan sumpah penjagaan sekiranya tanggungan bukan anak kandung (tidak termasuk yang telah berkahwin / bekerja)
- Salinan Sijil Nikah / Sijil Kematian / Sijil Cerai
- Salinan penyata gaji suami dan isteri / pencen / surat pengesahan pendapatan seisi rumah
- Salinan surat tawaran / pendaftaran sekolah / surat akuan daripada pihak sekolah (permohonan bagi sekolah)
- Salinan surat tawaran dari institusi pengajian tinggi dan kad pelajar (permohonan bagi pelajar IPT)
- Salinan senarai bayaran yuran sekolah / IPT
- Salinan akaun bank ibu / bapa / penjaga
Salinan dokumen yang disertakan perlu mendapat cop pengesahan dari mana – mana pegawai kumpulan A (Pegawai Kerajaan / Penghulu / Ketua Kampung / Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung / Nazir atau Pegawai yang boleh membuat pengesahan dokumen).
Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar melalui salah satu cara berikut :
- Serahan ke Ibu Pejabat YaPEIM
- Poslaju / Pos Ekspress / Perkhidmatan Kurier ke Ibu Pejabat YaPEIM
- Emel ke alamat [email protected]
- Cawangan pejabat Ar Rahnu YaPEIM yang berhampiran
- Ibu Pejabat YaPEIM Negeri
Permohonan boleh dibuat secara manual atau online mulai 1 Disember 2019 hingga 31 Januari 2020. Jika anda ingin memohon secara online, layari laman web YaPEIM di http://diny.yapeim.my:81/. Bagi yang ingin memohon secara manual, dapatkan borang permohonan di Ibu Pejabat YaPEIM Kuala Lumpur / Cawangan Ar Rahnu YaPEIM seluruh negara / Pejabat Pentadbiran YaPEIM negeri atau muat turun borang di laman web YaPEIM. Bantuan ini tidak terhad kepada seorang anak sahaja dan boleh dimohon lebih daripada satu permohonan sekiranya pemohon adalah memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Dengan adanya bantuan ini, ia dapat meringankan bebanan ibu / bapa / penjaga pelajar dalam menyediakan kelengkapan persekolahan / pembelajaran pelajar yang baru memulakan alam persekolahan / pengajian di IPTA. Tarikh tutup penghantaran borang adalah pada atau sebelum 31 Januari 2020. Dokumen yang tidak lengkap tidak akan diproses oleh YaPEIM. Pastikan borang telah lengkap diisi dan ditandatangan serta melampirkan semua salinan dokumen sokongan yang diperlukan.