Bantuan Sara Hidup Bujang

Pada 12 Februari 2019 yang lalu, Kementerian Kewangan Malaysia telah membuat satu pengumuman dalam sidang media berkaitan Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) bagi kategori bujang 2019. Bantuan ini akan dapat dinikmati oleh golongan individu sebanyak RM 100 dan akan dibayar mulai penghujung bulan Mac 2019. Semasa pembentangan Belanjawan 2019, Bantuan Sara Hidup ini hanya diberikan kepada golongan keluarga yang tidak berkemampuan serta warga emas yang hidup sebatang kara sahaja. Memandangkan fokus utama bantuan hanyalah kepada dua kategori ini, maka kategori individu bujang tidak layak menerima bantuan. Walaubagaimana pun, keputusan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya dari golongan individu yang pernah menerima bantuan sebelum ini.

Keputusan ini telah menyebabkan golongan individu yang tidak bekerja serta berpendapatan rendah merasa terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Tambahan pula bagi golongan individu yang tinggal di kawasan bandar, sudah tentu merasa agak sukar meneruskan kehidupan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

YAB Perdana Menteri Malaysia yang menyedari hal ini telah menyuarakan suara hati golongan individu agar golongan ini juga perlu diberi perhatian dalam menerima bantuan dari pihak kerajaan. Ia merupakan salah satu inisiatif yang boleh diberikan oleh kerajaan pusat kepada individu yang layak bagi mengurangkan kos sara hidup masa kini. Menteri Dalam Negeri juga turut menyokong keputusan ini dan menyarankan supaya bantuan diberikan kepada golongan individu yang belum berkahwin serta berpendapatan rendah.

Bantuan Sara Hidup merupakan bantuan yang telah diberi nama baru setelah berlakunya peralihan kuasa selepas PRU ke-14 yang lalu. Bantuan yang dahulunya dikenali dengan nama Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). Golongan individu yang berpendapatan rendah telah tersenarai sebagai penerima bantuan semasa BR1M diperkenalkan. Setiap individu yang berpendapatan RM 2,000 ke bawah layak menerima bantuan sebanyak RM 450 pada tahun 2017 dan 2018. Bantuan yang diperkenalkan sejak tahun 2013 telah mengalami perubahan jumlah bantuan setiap tahun di mana sebanyak RM 250 diberikan pada tahun 2013, sebanyak RM 300 pada tahun 2014, sebanyak RM 350 pada tahun 2015 dan pada tahun 2016 pula bantuan sebanyak RM 400 diberikan kepada golongan individu.

Keprihatinan YAB Perdana Menteri Malaysia terhadap permasalahan yang dihadapi oleh semua lapisan masyarakat, maka bantuan kepada golongan individu yang layak turut diberikan. Melalui Kementerian Kewangan Malaysia, golongan individu yang layak menerima bantuan akan menerimanya mulai 28 Mac 2019 dan seramai 3 juta individu akan menerima bantuan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta. Pembayaran RM 100 dibayar secara one-off kepada akaun bank penerima bantuan berdasarkan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data BSH 2018.

Bagi yang mempunyai akaun bank untuk dikreditkan wang bantuan, mereka akan dimaklumkan melalui Surat Makluman Gagal Kredit mulai 22 April 2019. Individu yang gagal dikreditkan wang bantuan perlu datang ke Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan membawa bersama surat makluman dan juga kad pengenalan. Jika tidak menerima surat makluman, individu tersebut boleh juga hadir ke mana – mana cawangan BSN dengan hanya membawa kad pengenalan.

Penebusan wang bantuan di BSN adalah berdasarkan nombor siri yang boleh disemak melalui portal BSH. Sebelum membuat penebusan wang, setiap individu digalakkan untuk menyemak status kelayakan di portal BSH dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan sahaja. Sekiranya individu tersebut mempunyai akaun bank yang sah, nombor akaun perlu dikemaskini supaya wang bantuan boleh dikreditkan terus ke akaun bank. Sekiranya tiada, maka anda perlu hadir sendiri ke cawangan BSN yang berdekatan.

Perubahan penerima bantuan BSH ini dilihat sebagai satu langkah positif dari pihak kerajaan yang sememangnya prihatin terhadap masalah serta isu yang perlu dihadapi oleh semua lapisan masyarakat termasuklah golongan bujang. Taraf hidup yang semakin meningkat turut memberi kesan kepada semua masyarakat tidak mengira bangsa, umur dan agama. Sekurang – kurangnya dengan bantuan ini ia dapat mengurangkan beban yang terpaksa di hadapi pada masa kini.