BSH merupakan salah satu program inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Ia juga sebagai salah satu bantuan yang diberikan kepada golongan yang berpendapatan rendah dalam mengharungi kos hidup yang semakin meningkat saban tahun. Pada tahun 2019, BSH turut disalurkan kepada golongan bujang sama ada lelaki atau perempuan yang menjadi ketua keluarga dengan jumlah pendapatan bulanan RM 4,000 dan ke bawah. Namun, kerajaan telah mengumumkan pemberian sebanyak RM 100 kepada setiap individu yang berdaftar dalam pangkalan data BSH 2018 bagi kategori bujang.
Menerusi pembentangan Bajet 2020 yang lalu, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Sara Hidup Bujang 2020 dinaikkan daripada RM 100 kepada RM 300. Malah, ia akan turut dirasai oleh individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang berumur 18 tahun dan ke atas. Kementerian Kewangan juga telah membuat siaran media pada 6 Januari 2020 berikutan keputusan kabinet untuk menaikkan kadar bantuan bagi kategori bujang. Peruntukan dianggarkan sebanyak RM 5 bilion untuk melaksanakan pemberian bantuan ini yang akan memberi manfaat kepada 1.1 juta individu bujang. Pemohon yang layak perlu membuat permohonan atau mengemaskini maklumat BSH mulai 1 Februari 2020 hingga 15 Mac 2020.
Bantuan Bujang 2020 hanya akan disalurkan pada fasa kedua iaitu pada bulan Mei dan pada fasa pertama bantuan hanya disalurkan buat kategori isi rumah sahaja. Pembayaran kategori ini akan dibuat sekali gus pada bulan Mei dengan pengkreditan terus ke akaun penerima. Bantuan ini diumumkan setelah mendapat saranan oleh Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri yang melihat bebanan hidup yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia termasuklah golongan bujang.
Maklumat pemohon individu bujang adalah berdasarkan maklumat yang telah didaftarkan dalam pangkalan data BSH 2019. Pemohon bujang yang layak menerima BSH pada tahun 2019 secara automatik akan menerima BSH Bujang RM300 pada fasa kedua. Walau bagaimana pun, sekiranya permohonan belum dibuat, pemohon boleh memohon secara online atau pun manual.
Syarat Permohonan
- Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia
- Mestilah berumur antara 40 hingga 59 tahun
- Sekiranya merupakan individu Orang Kurang Upaya (OKU) mestilah berumur 18 tahun dan keatas
- Berstatus bujang
- Berpendapatan kurang dari RM 2000 sebulan
Kategori individu bujang dan OKU juga adalah layak menerima bantuan secara percuma bagi Skim Perlindungan Takaful Mysalam. Ia merupakan perlindungan insurans percuma yang melindungi sehingga 45 jenis penyakit kritikal termasuklah polio. Individu yang memiliki skim ini layak menerima bayaran sehingga RM 4,000 untuk penyakit kritikal dan bantuan gantian pendapatan harian sebanyak RM 50 dan terhad kepada 14 hari jika didiagnos dan dimasukkan ke hospital kerajaan.