Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) JKM

Sesungguhnya tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang meminta untuk lahir ke dunia dengan keadaan tidak sempurna atau kurang upaya. Namun, bagi individu yang dilahirkan dengan kurang sempurna, mereka juga berhak mendapatkan kehidupan yang sama seperti orang lain. Orang kurang upaya atau juga dikenali sebagai orang kelainan upaya (OKU) antara individu yang perlu diberi perhatian. 

Terdapat beberapa kategori orang kurang upaya antaranya kurang upaya penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan atau tidak boleh bercakap, masalah pembelajaran serta beberapa kategori lain. Malah, terdapat dua jenis kekurangan upaya samada kekal atau sementara. Setiap individu OKU memiliki minat serta kebolehan masing – masing dan mampu bekerja untuk menampung kehidupan seharian. Namun, terdapat juga sebilangan kecil OKU yang tidak berkemampuan untuk bekerja atas faktor fizikal serta kelainan upaya. Oleh yang demikian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menyediakan pelbagai inisiatif serta skim bantuan yang bersesuaian untuk golongan OKU yang tidak berupaya untuk bekerja.

Skim Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja yang disediakan oleh JKM adalah bagi membantu golongan OKU meneruskan kehidupan seharian serta dapat mempertingkatkan kualiti dan kesejahteraan diri masing – masing. Selain itu, bantuan ini membolehkan golongan OKU untuk terus tinggal bersama – sama keluarga tanpa disisihkan dan tidak perlu tinggal di Institusi Kebajikan.

 

Kadar Bantuan

Kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 250 sebulan dan ianya akan dikaji semula dalam tempoh 12 bulan.   

Syarat dan Kriteria Kelayakan

Pemohon mestilah memenuhi syarat dan kriteria berikut semasa membuat permohonan :

  • Memiliki kewarganegaraan Malaysia, tinggal dan menetap di dalam negara
  • Setiap bulan memiliki pendapatan yang tidak melebihi PGK semasa termasuklah pendapatan yang diterima termasuk pencen bulanan, pencen ilat, PERKESO, bantuan bulanan, insurans dan lain- lain
  • Pemohon merupakan OKU yang  berdaftar dengan JKM
  • Individu OKU mestilah berumur antara 18 – 59 tahun 
  • Pemohon tidak menerima sebarang bantuan bulanan JKM sedia ada dan tidak terlibat dengan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kelolaan JKM dan program penjagaan / pemulihan kelolaan agensi Kerajaan dan NGO Kebajikan

Cara Membuat Permohonan 

  • Permohonan adalah melalui borang JKM 18 yang dimuat turun dari laman web rasmi JKM
  • Borang permohonan juga boleh diperolehi melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat di seluruh Negara termasuklah di daerah, jajahan atau bahagian
  • Tempoh memproses borang permohonan adalah selama 2 minggu dan keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh permohonan yang lengkap diterima

Dokumen Pendaftaran

Dokumen berikut perlu disertakan bersama borang permohonan iaitu :

  • Salinan myKad pemohon
  • Salinan myKad / Sijil Kelahiran ahli keluarga yang tinggal bersama
  • Slip pendaftaran OKU 
  • Laporan perubatan dari hospital atau klinik kesihatan kerajaan (sekiranya berkaitan)
  • Penyata pendapatan atau surat pengesahan pendapatan dari majikan/ surat akuan pendapatan (sekiranya bekerja sendiri)
  • Salinan penyata KWSP / SOCSO / Pencen / Buku Pelaburan

 

Kesemua permohonan yang diterima oleh pihak JKM akan melalui fasa tapisan terlebih dahulu yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa penilai. Satu siasatan akan dilakukan sebaik sahaja JKM menerima permohonan dari pemohon sebelum memberi kelulusan. Tapisan yang dilakukan ini supaya hanya pemohon OKU yang benar – benar layak sahaja akan menerima bantuan tersebut. Pemohon adalah dilarang memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan. Walau bagaimana pun, bantuan ini boleh dipertimbangkan kepada pemohon sekiranya keluarga pemohon menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT).

 

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut berkenaan bantuan JKM boleh diperolehi melalui pejabat JKM di alamat berikut :

Jabatan Kebajikan Masyarakat

Aras 6, 9-18

No 55, Persiaran Perdana, Presint 4

62100 Putrajaya

Atau

Menghubungi cawangan pejabat JKM negeri yang berhampiran;

Talian telefon pejabat JKM Putrajaya : 03 – 8000 8000 / Faks : 03 – 8323 2045