Pada tanggal 26 Mac 2019, Menteri Pertahanan Malaysia YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu telah mengumumkan satu berita gembira buat veteran ATM. Pentadbiran kerajaan masa kini telah bersetuju serta meluluskan Bantuan Harapan Negara 2019 (BHN) sebanyak RM 500 yang diberikan secara one-off kepada veteran ATM. Bantuan ini merupakan inisiatif kerajaan kepada para veteran ATM yang telah banyak berbakti kepada negara. Angkatan Tentera Malaysia merupakan individu yang telah berkhidmat serta bertanggungjawab terhadap pertahanan negara yang sentiasa berdepan dengan cabaran dan halangan semasa bertugas. Di Malaysia terdapat tiga cabang pertahanan utama yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kewujudan sistem pertahanan negara membolehkan seluruh rakyat Malaysia hidup aman dan Sentosa tanpa ancaman berbahaya dari luar.
Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di bawah pengurusan Kementerian Pertahanan Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab menyempurnakan skim bantuan ini. JHEV ATM bertanggungjawab menyediakan kemudahan pendaftaran serta permohonan bantuan, menyemak serta menentukan kelayakan serta meluluskan permohonan, pemakluman status permohonan serta membuat bayaran bantuan ke akaun bank penerima BHN 2019.
Bantuan Harapan Negara 2019 ini diwujudkan bagi menggantikan skim Bantuan Bakti Negara (BBN) 2017 dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) 2013. BHN ini lebih tertumpu kepada golongan veteran ATM kumpulan B40, namun ia turut melibatkan golongan veteran ATM berpencen yang tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan secara one-off sebelum ini. Bagi menjayakan skim bantuan ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 79,684,000.00 kepada seramai 159,368 orang penerima yang terdiri dari veteran ATM berpencen dan tidak berpencen berbanding hanya 43,000 veteran ATM tidak berpencen yang telah menerima skim bantuan BBN 2017.
Syarat dan kelayakan
Penerima BHN 2019 haruslah memenuhi syarat – syarat serta kriteria berikut :
- Merupakan veteran ATM dan tarikh tamat tempoh perkhidmatan (TTP) hendaklah sebelum 31 Disember 2019
- Mestilah menetap dan bermastautin di Malaysia
- Merupakan veteran yang layak menerima Bantuan Sara Hidup 2019
- Veteran ATM perlu membuat permohonan untuk mendapatkan BHN 2019 (bagi veteran
ATM tidak berpencen yang tidak pernah memohon Bantuan SVTB1M dan BBN 2017)
6. Veteran ATM yang berpendapatan isi rumah kasar bulanan RM 4,000 dan ke bawah (B40)
7. Bantuan ini tidak dipanjangkan kepada duda / balu / tanggungan / waris.
Golongan veteran ATM berpencen B40 dan tidak berpencen B40 yang pernah menerima BBN 2017 sebelum ini adalah disarankan agar mengakses portal BHN 2019 di http: bhn.jhev.gov.my bagi membuat semakan serta pengesahan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat tempat tinggal terkini, nombor akaun bank, jenis bank serta nombor telefon yang boleh dihubungi. Selain permohonan secara online di portal rasmi BHN, bantuan ini juga boleh dimohon secara manual iaitu dengan mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi dari ibu pejabat JHEV / cawangan pejabat JHEV negeri / persatuan veteran ATM (PVATM). Borang yang telah diisi perlu di hantar ke kaunter ibu pejabat JHEV / cawangan pejabat JHEV negeri serta pejabat persatuan – persatuan veteran ATM.
Permohonan bantuan boleh dibuat mulai 14 April 2019 hingga 1 Oktober 2019, namun ia tertakluk kepada sebarang pindaan dari masa ke semasa.
Setiap permohonan perlu disertakan bersama dokumen berikut :
- Sesalinan MyKad / MyTentera
- Sesalinan Buku Perakuan Perkhidmatan (BAT D 86 / 92) / Sijil Berhenti Pasukan Sukarela ATM (BAT B 84) setiap muka surat; atau Surat Pengesahan Perkhidmatan atau Arahan Dokumentasi Persaraan atau rekod tamat perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP)
- Sesalinan Kad Bekas Tentera / Kad Veteran (jika ada)
- Sesalinan buku akaun bank persendirian yang masih aktif (muka surat yang tercatat nama dan no. akaun sahaja) atau penyata akaun bank
- Sesalinan slip gaji bulanan terkini atau bukti pendapatan
Bagi permohonan secara online, pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan sekiranya menerima satu mesej peringatan yang dipaparkan semasa permohonan dalam talian dibuat. Permohonan yang berjaya akan menerima bantuan mulai 27 Mei 2019. Bantuan ini akan terhenti dengan sendirinya sekiranya penerima telah meninggal dunia kerana bantuan ini tidak dipanjangkan kepada waris.
Permohonan
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau inginkan maklumat lebih lanjut berkenaan bantuan ini, pemohon boleh mendapatkan maklumat melalui medium berikut :
- Layari portal rasmi BBN di Jabatan Hal Ehwal Veteran AT (JHEV)
- Menghubungi talian hotline JHEV di nombor 03-26976600
- Hadir ke ke Ibu Pejabat JHEV / Pejabat JHEV Cawangan Negeri
- Hubungi Sekretariat BHN di :
Bilik Operasi BHN
Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM
Kementerian Pertahanan Malaysia
Aras 9 Menara TH Perdana
1001 Jalan Sultan Ismail
50250 KUALA LUMPUR
e-mel: [email protected]
Kerajaan berharap dengan adanya skim bantuan ini dapat membantu golongan veteran ATM berhadapan dengan cabaran kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini. Ia antara usaha kerajaan demi menjaga kebajikan golongan veteran ATM yang telah banyak berkorban serta berjuang demi memastikan keselamatan serta kemakmuran negara tetap terpelihara.