Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengumumkan pemberian lima (5) inisiatif kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Perhimpunan Veteran ATM dan sempena Pelancaran Tabung Pahlawan 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan.
Pengumuman berita baik itu dibuat di hadapan lebih 15,000 veteran ATM yang hadir. Pengumuman tersebut membabitkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN), Skim Anuiti Veteran (SAVe), pencen hilang upaya bagi veteran ATM yang tidak mendapat pencen perkhidmatan, penambahan kuota ibadat haji daripada 100 orang pada tahun sebelumnya kepada 400 orang pada tahun ini.serta insentif veteran kelainan upaya Tabung Pahlawan.
“Inilah sumbangan dan cara kerajaan menghargai pejuang pertiwi sempena Hari Pahlawan yang disambut di seluruh negara hari ini,” kata Najib semasa menyampaikan ucaptama pada perhimpunan itu.
Bantuan Bakti Negara (BBN) merupakan bantuan tahunan berjumlah RM1,200 daripada Kerajaan terutamanya kepada veteran ATM yang tidak berpencen. Pemberian BBN adalah berdasarkan kriteria yang berada di bawah kelompok B40 yang juga penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
“BBN merupakan bantuan tahunan daripada Kerajaan terutamanya kepada veteran ATM yang tidak berpencen untuk membantu mereka meningkatkan tahap sosio-ekonomi,” kata Najib.
Data sehingga Mei 2017, sebanyak 179,581 iaitu 59% veteran ATM tidak menerima pencen daripada sejumlah 288,952 pesara tentera.
Najib berkata skim BBN adalah lanjutan skim bagi veteran ATM yang diperkenalkan pada tahun 2013 iaitu Skim Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia.
“Skim ini adalah bagi memastikan bahawa kebajikan veteran ATM yang tidak berpencen terus dipelihara oleh kerajaan”.
“Pengenalan BBN adalah mekanisme baru bagi kerajaan untuk membantu golongan veteran ATM yang berpendapatan rendah dan tidak berpendapatan tanpa membebankan sumber kewangan kerajaan yang sedia ada,” kata Najib lagi.
BANTUAN BAKTI NEGARA (BBN)
Kriteria kelayakan Penerima:
- Veteran ATM berkhidmat sepenuh masa, tidak pernah dibesarakan/diberhentikan atas salah laku dalam mana- mana Angkatan berikut :
- Angkatan Tetap ATM
- Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan
- Force 136
- Tentera British berkhidmat di Malaya/Malaysia.Singapura
- Sarawak Rangers
- Tarikh TTP sebelum 1 November 2017
- Tidak menerima sebarang pencen
- Bermastautin di Malaysia
- Veteran yang layak menerima BR1M
- Veteran berumur 60 tahun dan ke atas layak memohon walaupun bukan penerima BR1M.
Kadar :
- RM1,200 kepada veteran tidak berpencen dan penerima BR1M.
- RM600 kepada veteran tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas yang bukan penerima BR1M.
Tempoh :
Penerima yang layak akan dibayar berterusan setiap tahun dan terhenti apabila penerima meninggal dunia.
Kaedah Bayaran :
Bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank penerima atau baucar/waran/cek ditunaikan di mana – mana cawangan bank pembayar yang mengambil bahagian.
Cara memohon :
Dapatkan borang permohonan di semua pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM seluruh negara secara percuma atau muat turun di laman web bbn.jhev.gov.my.
Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi 03 – 2697 6600