Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan enam insentif baharu untuk peneroka FELDA sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Putrajaya pada 23 Julai 2017. Kira – kira 25,000 peneroka felda dari 11 wilayah seluruh negara hadir pada sambutan yang yang julung kali diadakan di Putrajaya tersebut.
Enam berita baik yang diumumkan adalah:
- Insentif RM5,000 kepada 94,956 orang keluarga peneroka pada akhir Ogos 2017 yang layak penuh dengan jumlah keseluruhan RM474.78 juta demi menjaga kebajikan warga FELDA.
- Pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 kepada setiap peneroka yang memilih menanam semula melalui FELDA di mana melibatkan peruntukan RM519 juta.
- Pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FELDA Global Ventures (FGV) yang melibatkan 77,934 peneroka. Bagi mereka yang habis pinjaman, ganjaran tunai sebanyak RM1,820 akan diberikan. Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 128.1 juta.
- Kelulusan membina lebih daripada satu unit rumah dalam satu tapak rancangan FELDA secara pinjaman tanpa faedah berjumlah RM40,000. Pemberian ini melibatkan 70,000 tapak rumah peneroka. Jumlah kos keseluruhan RM2.8 billion.
- Geran khas tanam semula dengan kadar RM7,500 bagi setiap hektar yang diluluskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada FELDA. Program ini adalah bagi tempoh 2017 hingga 2020.
- Dana khas berjumlah RM300 juta diwujudkan untuk tempoh 2017-2021 bagi pelupusan lebihan hutang tanam semula yang melibatkan kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.
Selain itu, FELDA akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA dan peneroka yang menyaman FELDA untuk kembali bermuafakat bersama agensi tersebut. Tempoh untuk kembali bermuafakat tersebut diberikan dalam masa enam bulan bermula Ogos 2017 dan mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan FELDA.