Apa itu SMUE (Skim Mesra Usia Emas Selangor) ?
Seorang manusia akan menjadi warga tua atau warga emas ketika usia mereka mencapai 60 tahun dan ke atas mengikut Dasar Warga Emas. Di samping itu, usia ini juga mencetuskan beberapa cabaran bagi golongan warga emas dalam menghadapi masalah yang melibatkan mental, fizikal, sosial, dan kewangan. Di Malaysia, masalah kewangan seperti wang simpanan atau pencen pastinya menjadi cabaran utama bagi golongan ini dalam menyara kehidupan seharian mereka selepas tamatnya tempoh pekerjaan.
Kos keperluan seperti makan minum, tempat tinggal dan perubatan adalah sebahagian daripada perkara asas yang memerlukan wang perbelanjaan yang banyak. Golongan warga emas bukan sahaja terpaksa untuk menghadapi cabaran penuaan tetapi mereka juga terpaksa menghadapi cabaran kewangan yang membebankan dalam menghabiskan sisa-sisa riwayat mereka dan ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap orang di sekeliling mereka pada masa yang sama. Oleh hal yang demikian, kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dalam membantu meringankan beban ekonomi penduduk mereka dan ia adalah salah satu agenda dalam Fasa 1 Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor.
SMUE adalah tawaran khas skim khairat kematian oleh Kerajaan Selangor kepada semua warga emas dan OKU yang layak tanpa mengira fahaman politik, agama, jantina, kaum, tahap sosial mahupun status ekonomi. Penama bagi golongan warga emas yang telah berdaftar akan menerima bantuan sebanyak RM2,500 dari Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berdekatan apabila ahli berdaftar meninggal dunia. Ia akan dibuat secara dua peringkat bermula dengan RM1,000 selepas laporan kematian dan dokumen lengkap dan baki RM1,500 selebihnya pada satu acara majlis khas selepas 60 hari bayaran pertama dilakukan. Pendaftaran oleh golongan ini membolehkan pejabat DUN untuk mengemas kini data, memeriksa taraf pemastautin, dokumen pengesahan, dan status permohonan.
Tujuan SMUE ini dilaksanakan oleh kerajaan Selangor adalah untuk membantu pewaris atau penama dalam menguruskan hal yang berkaitan dengan kos pengurusan jenazah dan pengkebumian, atau digunakan untuk menyelesaikan hutang yang terpaksa ditanggung oleh pewaris atau penama setelah ahli berdaftar meninggal dunia. Akhir sekali, pendaftaran juga dapat dilakukan sekiranya ahli warga emas tersebut telah meninggal sehingga ia dinyatakan sebaliknya.
Terma dan Syarat
- Pemohon hendaklah membuat pendaftaran alamat tempat tinggal berdasarkan MyKad mereka. Pemohon yang mempunyai tempat tinggal di Negeri Selangor tetapi beralamatkan tempat tinggal selain Negeri Selangor perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengelakkan sebarang masalah.
- Permohonan mereka yang lahir di Negeri Selangor tetapi tidak menetap di negeri tersebut akan ditolak oleh pejabat yang berkaitan manakala pemohon yang tinggal di negeri Selangor tetapi tidak lahir di negeri tersebut perlu mendapatkan pengesahan taraf mastautin di kawasan tempat tinggal mereka terlebih dahulu.
- Pendaftar dan pewaris mestilah mempunyai taraf kewarganegaraan Malaysia.
- Pewaris mestilah daripada kalangan berikut; Suami, Isteri, Ibu, Bapa, Anak, Cucu, Adik-Beradik, Menantu, atau Pertubuhan
- Mereka yang dilantik hendaklah seorang yang amanah dalam menguruskan wang manfaat ini dan mereka telah mendapat persetujuan daripada pemohon dan keluarga untuk menguruskan kos pengurusan dan pengkebumian jenazah.
- Pendaftaran untuk penama yang merupakan sebuah pertubuhan atau rumah kebajikan dan sebagainya perlulah disertakan dengan dokumen pendaftaran pertubuhan yang lengkap dan satu surat kebenaran kuasa untuk menggunakan pertubuhan sebagai penama daripada Ahli pertubuhan. Walau bagaimanapun, semua dokumen dan surat kuasa haruslah disahkan terlebih dahulu oleh Pusat Pendaftaran yang berkaitan.
- Pendaftaran ahli SMUE adalah percuma melalui Borang Mesra Usia Emas yang hanya boleh dilakukan sekali sahaja dan ia akan dianggap telah mendapat persepakatan antara ahli keluarga oleh Pusat Pendaftaran berdekatan. Justeru itu, penyelesaian masalah di peringkat keluarga perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran bagi mengelakkan sebarang masalah di masa hadapan.
- Salinan MyKad (pemohon, penjaga ahli, penama ahli, dan Kad Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya perlu) perlu disertakan sekali dengan setiap Borang Mesra Usia Emas dan ia perlu mendapatkan cop atau pengesahan oleh Pusat Pendaftaran termasuklah Pusat Khidmat Masyarakat, atau Pihak Berkuasa Tempatan, dan Rantaian Mesra Sdn. Bhd. supaya ia tidak disalahgunakan pihak lain.
- Setiap pendaftaran yang layak akan terus dimasukkan ke dalam sistem eMesra bagi tujuan semakan. Pendaftar juga boleh membuat semakan di mana-mana Pusat Pendaftaran berdekatan dengan memberikan nombor MyKad mereka. Ahli keluarga juga perlu memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain bagi mengelakkan pendaftaran yang bertindih atau masalah-masalah yang lain.
- Sekiranya ada perselisihan di kalangan keluarga atau pertindihan tuntutan segala bayaran tuntutan tidak akan dilakukan kecuali seorang penama yang bertanggungjawab telah dipersetujui secara bertulis oleh semua pihak dan ia telah dihantarkan kepada Rantaian Mesra Sdn. Bhd.
Syarat Kelayakan Memohon
- Seorang Warga Emas dengan status Warganegara Malaysia dan berumur tidak kurang daripada 60 tahun dan ke atas; ATAU
- Seorang yang telah lahir dan sedang bermastautin di Negeri Selangor; ATAU
- Seorang yang telah menetap di Negeri Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan tarikh lahir sebelum 1/2/1974 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; ATAU
- Seorang yang tidak lahir di Negeri Selangor tetapi telah menetap selama 15 tahun di Negeri Selangor; ATAU
- Warga OKU yang telah lahir di Negeri Selangor dan telah menetap selama 15 tahun hanya akan di kira layak sekiranya mempunyai Kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat tanpa had umur.
Pusat Pendaftaran
Pendaftaran SMUE boleh dibuat di:
- Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Negeri Selangor dan Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah di seluruh Negeri Selangor
- Pihak-Pihak Berkuasa yang berdekatan dengan tempat pemohon
- Atau berhubung terus dengan;
Borang Pendaftaran
Rantaian Mesra Sdn. Bhd
Tingkat G, Bangunan Darul Ehsan
No.3, Jalan Indah, Seksyen 14
40000 Shah Alam, Selangor
Tel: 03-5510 3468 / 3472
Faks: 03-5510 3455
Laman Web Rasmi SMUE
Pemohon boleh melayari laman web rasmi SMUE di laman di atas yang berfungsi sebagai tempat memberikan maklumat yang terkini daripada Rantaian Mesra Sdn. Bhd. Di samping itu, mereka juga boleh memuat turun borang-borang berikut dalam format PDF termasuklah;
- Borang tuntutan SMUE dan Rekup
- Borang khas untuk penukaran penama
- Borang untuk mendaftarkan pertubuhan
- Surat kuasa sebagai wakil penama
- Contoh cabutan MyKad Jabatan Pendaftaran Negara