Permohonan RMR Bank Negara
Satu dana khas telah diwujudkan oleh kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia memiliki sebuah rumah pertama. Dana ini telah diumumkan selepas sesi pembentangan Belanjawan 2019 yang memperuntukkan dana sebanyak RM 1 billion. Tujuan dana ini diberikan adalah untuk membantu rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana memiliki sebuah rumah pertama sebagai tempat kediaman bersama keluarga.
Bagi rakyat Malaysia yang berminat untuk memiliki rumah pertama, mereka boleh memohon dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia mulai 2 Januari 2019. Pembeli yang layak boleh mendapatkan pembiayaan secara konvensional mahupun Islamik dari bank – bank yang tersenarai pada kadar konsesi sahaja. Pihak kerajaan memperuntukkan dana ini selama 2 tahun sahaja bermula Januari 2019 atau sehingga dana RM 1 billion telah habis diperuntukkan.
Menurut Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara, dana ini boleh dimohon oleh ramai orang kerana had kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah telah dinaikkan kepada RM 4,360 berbanding RM 2,300. Kadar harga maksimum rumah yang layak menerima dana ini adalah RM 300,000 berbanding RM 150,000 sebelum ini. Perubahan kadar ini dibuat sejajar dengan definisi harga rumah mampu milik yang termaktub dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara. Segala perubahan ciri – ciri dana serta kriteria yang ditetapkan akan berkuatkuasa mulai 1 September 2019.
Kelayakan
Syarat – syarat kelayakan bagi pemilikan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia adalah seperti berikut:
- Merupakan warganegara Malaysia
- Berpendapatan maksimum bulanan isi rumah sebanyak RM4,360
- Harga maksimum harta tanah sehingga RM300,000
- Kadar pembiayaan yang dikenakan adalah sehingga 3.5%
- Bank yang mengambil bahagian adalah Bank Simpanan Nasional, AmBank, CIMB Bank, RHB Bank dan juga Maybank
- Tempoh pembiayaan adalah selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun, yang mana lebih rendah
- Pemohon mestilah merupakan seorang pekerja bergaji atau bekerja sendiri, serta tidak mempunyai mana – mana rekod pembiayaan yang buruk dalam tempoh 12 bulan.
- Pemohon mestilah merupakan peminjam tunggal atau peminjam bersama ( kedua – dua pasangan mestilah warganegara Malaysia).
Sebaik – baiknya pemohon yang ingin membeli rumah ini adalah penting untuk memastikan rekod CCRIS adalah bersih serta tiada sebarang rekod buruk bagi memudahkan segala urusan pembiayaan. PIhak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan turut menyediakan modul kewangan kepada pembeli rumah yang memohon pembiayaan bagi dana ini. Modul ini adalah untuk membantu bakal peminjam untuk lebih memahami komitmen kewangan yang akan dikehendaki sebelum membeli rumah. Pelancaran dana yang diperkenalkan ini turut dilengkapi dengan pelbagai langkah – langkah yang dapat membantu para pembeli yang berpendapatan RM 5,000 dan ke bawah untuk memiliki rumah pertama mereka dengan harga sehingga RM 300,000.
Bagi mengurangkan kos pembiayaan, terdapat langkah – langkah yang perlu diambil oleh pembeli supaya ia dapat mengurangkan kos sampingan yang ada semasa proses pemilikan rumah bagi peminjam yang layak. Langkah tersebut termasuklah duti setem, kadar bagi perlindungan gadai janji serta pengecualian yuran guaman bagi perjanjian jual beli serta pembiayaan.
Kemudahan dana ini merupakan satu inisiatif kerajaan bagi membuka peluang kepada pemohon untuk mendapatkan pembiayaan serta dapat memperbaiki peluang mereka mendapat pembiayaan dari bank yang terlibat. Selain menghubungi cawangan bank yang mengambil bahagian, anda juga boleh menghubungi talian khidmat bantuan Bank Negara Malaysia di talian 1-300-88-5465. Pihak bank juga mempunyai syarat serta kriteria yang agak berbeza antara satu sama lain, namun pastikan anda memilih bank yang menawarkan kemudahan terbaik bagi pembiayaan rumah pertama milik anda.
Pembeli juga dapat menjimatkan wang sehingga 11 % dengan adanya bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan ini.