Permohonan bagi pelajar lepasan sekolah menengah termasuklah Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, pelajar lepasan Universiti seperti Diploma, dan pelajar lepasan matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Politeknik dan setaraf dengannya boleh dilakukan bermula daripada tarikh 18 Januari 2016 sehingga 5 April 2016. Mereka yang telah membuat permohonan akan dipanggil ke sesi kemasukan yang telah dipilih melalui pembelian nombor pin dan laman sesawang di atas penyata yang telah dibeli selewatnya pada bulan Jun dan akhir Julai.
Pelajar yang masih mencari kursus dan maklumat yang sesuai berkenaan IPTA boleh melawati Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2016 dan Karnival Pendidikan Majlis Amanah Rakyat 2016. Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga boleh melayari laman sesawang SKEP untuk melihat Senarai terkini IPTS yang telah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Jenis Permohonan UPU
Permohonan UPU yang dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar boleh dikategorikan kepada tiga lepasan iaitu;
- Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya
- Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Diploma, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matrikulasi, atau setaraf dengannya
- Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan memperoleh Tahap 1,2,3,dan 4
Penyelarasan Permohonan UPU
Penyelarasan, pemprosesan, dan pemilihan permohonan yang dilakukan oleh Badan Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi (BPKP JPT) untuk kemasukan program pengajian yang telah dipilih oleh pelajar lepasan SPM untuk bulan Jun 2016 hanyalah untuk Institusi berikut;
- Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) atau Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) – Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan
- Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun (JMTi), atau Institut Latihan Perindustrian (ILP) – Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM)
- Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST)
- Kolej Komuniti – Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK)
Langkah-Langkah Buat Permohonan
PERHATIAN: Pelajar sering gagal dalam permohonan ke Politeknik, ILKA dan IPTA melalui sistem UPU yang dibuat secara atas talian kerana tidak mematuhi langkah-langah berikut;
- Pembelian nombor PIN UPU hanya boleh dibeli melalui mesin pengeluaran wang tunai atau kaunter Bank Simpanan Nasional di seluruh negara. Harga bayaran yang akan dikenakan adalah sebanyak RM15.64.
- Nombor PIN UPU yang dibeli akan digunakan untuk mengisi borang permohonan UPU secara atas talian melalui laman sesawang UPU. Selepas pendaftaran dilakukan, pelajar boleh log masuk secara terus ke borang permohonan UPU untuk mengisi maklumat mereka. Di situ, mereka boleh memilih Program Pengajian, Jenis Permohonan, dan Kategori Pelajar.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran borang permohonan UPU adalah seperti berikut;
- Pengiraan Merit
Cara pengiraan markah merit bagi pelajar lepasan 2016 adalah berdasarkan prinsip meritokrasi dengan mencampurkan 90% markah daripada keputusan akademik dan 10% markah daripada pencapaian kokurikulum.
- Syarat bagi keputusan MUET
Syarat yang diguna pakai dalam keputusan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) ke peringkat IPTA adalah seperti berikut;
- Syarat masuk ke IPTA seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam BAJET 2015 adalah Band 2 untuk kemasukan pengajian sastera dan sains sosial, Band 3 untuk kemasukan pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dan Band 4 untuk kemasukan pengajian undang-undang dan perubatan.
- Syarat pengijazahan adalah berbeza dengan syarat masuk ke IPTA kerana ia menggunakan Band 3 untuk kemasukan pengajian sastera dan sains sosial, Band 4 untuk kemasukan pengajian STEM, dan Band 5 untuk kemasukan pengajian undang-undang dan perubatan.
Walau bagaimanapun, syarat minimum yang dilaskanakan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi ketika ini adalah Band 1. Ini secara tidak langsung akan diguna pakai oleh IPTS pada masa akan datang.
- Pemohon tidak perlu mengisikan maklumat keputusan MUET di borang permohonan kerana ia akan diisi oleh Majlis Peperiksaan Malaysia untuk tempoh sah 5 tahun.
- Tarikh tutup permohonan adalah 15 April 2016 namun kemasukan ke Universiti Awam seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah berbeza.
- Pemohon lepasan SPM 2015 juga tidak perlu mengisi maklumat pada borang permohonan kerana ia akan dipadankan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Panduan Aliran
- Aliran Sains
Pemohon dianggap mengambil aliran sains sekiranya mereka mengambil empat (4) atau lima (5) mata pelajaran seperti;
- Matematik
- Matematik Tambahan
- Fizik
- Kimia
- Biologi, atau Reka Cipta, Sains Pertanian, Perdagangan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Teknologi Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan, Elektrik & Elektronik, Pengajian Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Teknologi Maklumat, Ekonomi Rumah Tangga, Pengurusan Makanan, dan Pengetahuan Sains Sukan.
Aliran Sastera
Pemohon yang tidak mengambil mana-mana mata pelajaran dalam komponen Aliran Sains akan dimasukkan secara automatik Aliran Sastera.
Syarat Umum Permohonan
Syarat umum yang digunakan dalam permohonan UPU adalah seperti berikut;
- Program Untuk Pelajar Lepasan SPM atau Setaraf
- Pemohon adalah seorang warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan dan MyKad
- Pemohon telah menduduki peperiksaan SPM dan telah mendapat sekurang-kurangnya lima (5) kepujian dalam keputusan mereka termasuklah Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah
- Pemohon telah melengkapi Syarat Khas Program e-Panduan Permohonan Kemasukan ke UPU
- Program pengajian untuk Bumiputera termasuklah semua program pengajian di UiTM, Asasi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Asasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Asasi Sains di Universiti Malaya (UM).
- Program permohonan terbuka untuk pemohon Bumiputera dan Bukan Bumiputera termasuklah Asasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Asasi dan Diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Asasi Pengajian Islam UM, Tahmidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Politeknik Premier, dan Diploma di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).
- Program Untuk Pelajar Lepasan STPM atau Setaraf
- Pemohon adalah seorang warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan dan MyKad, dan terbuka juga kepada pelajar bukan warganegara Malaysia. Namun begitu, pelajar bukan warganegara Malaysia perlu memohon terus ke IPTA berkaitan.
- Pemohon mestilah pelajar yang telah menduduki peperiksaan SPM dan telah mendapat sekurang-kurangnya lima (5) kepujian dalam keputusan mereka termasuklah Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah
- Pemohon telah menduduki peperiksaan STPM dengan mendapat keputusan Gred C atau sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dalam tiga (3) mata pelajaran termasuk Pengajian Am, atau
- Pemohon telah menduduki peperiksaan matrikulasi atau asasi dan telah mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00, atau
- Pemohon telah menduduki peperiksaan STAM dan telah mendapat sekurang-kurangnya Pangkat Jayyid, atau
- Pemohon telah mendapat kelulusan dalam Diploma atau setaraf dengannya yang telah diluluskan oleh Senat IPTA dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, atau
- Pemohon telah menduduki STPM pada tahun 2012 dan sebelumnya dan telah mendapat Gred C atau PNGK 2.00 dalam tiga (3) mata pelajaran termasuk Pengajian Am, atau
- Pemohon telah menduduki Matrikulasi atau Asasi pada tahun 2012 dan telah mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00, atau
- Pemohon telah menduduki STAM sebelum tahun 2011 dan telah mendapat sekurang-kurangnya Pangkat Jayyid
- Pemohon telah mendapat sekurang-kurangnya Band 1 dalam MUET dalam tempoh ia masih berada dalam sah laku.
Cara Menghubungi UPU
Pemohon yang ingin mendapatkan maklumat terbaru mengenai permohonan UPU boleh melayari Facebook rasmi BPKP JPT atau laman sesawang permohonan UPU di pautan http://upu.moe.gov.my/web/, melayari INSTAGRAM dengan menggunakan alamat mereka iaitu @kemasukanbpkp, atau melayari laman Twitter mereka di alamat @twt_upu.
Di samping itu, pemohon juga boleh menghubungi talian helpline UPU di 03- 03-8870 6767 atau 03-8870 6777 pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang untuk memperoleh maklumat yang lebih lengkap dan lanjut mengenai permohonan UPU.