PANDUAN PEMAKANAN SIHAT

Gaya hidup yang sihat dan berkualiti termasuklah mengamalkan tabiat pemakanan sihat. Hal ini bagi memastikan makanan yang harus dan sepatutnya dimakan untuk memastikan tubuh badan seseorang berfungsi secara normal. Makanan seimbang diperlukan untuk memberikan tenaga yang mencukupi dengan sumber karbohidrat, protein dan lemak secara optimum dan kandungan fiber yang seimbang. Makanan yang mengandungi nutrient yang mencukupi dapat membina badan yang sihat dan dapat menjauhi kita daripada penyakit. Rakyat Malaysia amat disarankan mengambil makanan yang berkhasiat dan mengikut panduan pemakanan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Amalan pemakanan sihat perlu diterapkan sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memupuk amalan yang betul dan memberikan makanan sihat dan berkualiti kepada anak – anak. Pemakanan keluarga juga seharusnya berdasarkan sajian seimbang dan sihat mengikut piramid makanan. Ini sangat penting bagi menjaga generasi sihat ke arah pembangunan Negara yang mampan.

Panduan Diet Malaysia menekankan pengambilan pelbagai jenis makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia yang menyatakan tubuh manusia memerlukan pelbagai nutrient yang seimbang. Makanan diletakkan pada aras yang berbeza di dalam piramid makanan berdasarkan kepada nilai nutrien utama (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011). Makanan dengan nilai nutrien tertinggi diletakkan di dasar piramid makanan, manakala makanan yang mempunyai nilai nutrien terendah diletakkan pada puncak piramid makanan.

Jumlah amaun makanan yang dibenarkan adalah berbeza di antara individu. Oleh itu pemilihan makanan harus mengikut bahagian yang dinyatakan dalam panduan piramid makanan (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011). Jenis makanan harus dipilih dari setiap aras piramid mengikut turutan, pilihan terbaik dan perlu dimakan paling banyak adalah daripada aras satu atau dasar piramid, dan makanan dari aras puncak piramid makanan perlu diambil dengan kadar paling sedikit (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011).

Berikut merupakan beberapa panduan pemakanan sihat yang boleh dijadikan rujukan:

Jangan tidak makan karbohidrat

Rata – rata rakyat Malaysia mempercayai dengan mengambil karbohidrat menyumbang kepada kegemukan dan mampu mengundang pelbagai penyakit. Ini mendorong mereka bertindak untuk meninggalkan pengambilan nutrien tersebut secara total serta menggantikannya dengan kaedah diet lain yang mungkin menyebabkan berlakunya malnutrisi. Contoh makanan yang mengandungi karbohidrat ialah gandum, beras, oat, bijirin dan jagung.

 

 Rancang apa yang hendak dimakan

Sekiranya berhasrat untuk mengambil makan malam yang lebih berat seperti stik dan kentang, kurangkan atau elakkan pengambilan makanan berdaging dan berkanji untuk waktu makan yang lain dan begitulah seterusnya. Seharusnya pengambilan makanan tersebut haruslah seimbang dan tidak berlebihan. Tidak salah untuk menghadiri majlis jamuan makanan yang menghidangkan segala jenis makanan yang lazat dan enak, namun haruslah bersederhana.

 

 Makan tengahari sehendaknya

Kebiasannya mengatakan sarapan pagi adalah penting untuk memulakan hari dan menyarankan untuk makan seperti raja. Namun, kebanyakan penduduk di Malaysia tidak bersedia untuk makan dalam jumlah yang banyak seawal pagi. Waktu makan tengahari adalah waktu terpenting untuk seseorang mengambil makanan yang cukup kerana pada waktu ini sistem penghadaman telah bersedia sepenuhnya. Di waktu ini, badan amat memerlukan makanan untuk berfungsi sepenuhnya. Namun begitu makan sehendaknya bukan bermakna seseorang itu boleh makan apa sahaja dalam jumlah yang banyak tetapi perlulah dirancang dan diambil secara seimbang sebaik mungkin.

 

 Makan makanan pelbagai warna

Pengambilan pemakanan yang sihat seharusnya pelbagai jenis dan warna. Hal ini terutamanya sayur – sayuran dan buah – buahan. Untuk sihat, tidak semestinya sayuran berwarna hijau sahaja. Tubuh badan manusia memerlukan pelbagai vitamin dan nutrient yang membantu melawan penyakit. Contohnya, kobis ungu, lada benggala, sayur sawi, buah oren, pisang dan tomato.

 

Berhenti sebelum kenyang

Dalam ajaran Islam itu sendiri, ada mengajar supaya berhenti makan sebelum kenyang.

Tujuan makan adalah untuk hidup bukan hidup adalah untuk makan. Menikmati makanan yang sedap adalah satu nikmat yang tidak terkata. Namun, haruslah ingat bahawa seseorang perlu makan kerana memenuhi keperluan tubuh badan dengan nutrien yang membolehkan tubuh berfungsi sebaiknya. Amalan ini membolehkan sistem pencernaan berfungsi lebih optimum dan dapat mengelakkan perut tidak selesa atau kembang serta mengurangkan kadar risiko penyakit berkaitan usus dan perut.

 

 Tetapkan pola waktu makan

Sebolehnya tetapkan waktu makan yang konsisten setiap hari. Sarapan pagi, waktu tengah hari dan makan malam haruslah ditetapkan mengikut keperluan tubuh masing – masing. Hal ini juga bagi mengelakkan seseorang mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak kerana selalu berasa lapar.

 

 Minum segelas air suam sebelum makan

Meminum air suam sebelum makan mampu mengurangkan jumlah makanan yang diambil serta membantu sistem penghadaman

 

 Kurangkan pengambilan gula

Pengurangan pengambilan gula membantu mengurangkan jumlah kalori di dalam pemakanan seharian. Pengambilan gula secara berlebihan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan obesity dan penyakit kencing manis.

 Menguyah makanan secara perlahan-lahan

Di dalam air liur terdapat enzim amylase yang membantu menguraikan makanan dan seterusnya membantu sistem pencernaan. Apabila seseorang makan dengan cepat akan menyebabkan air liur tidak dapat menguraikan makanan dengan baik.

 Tidur secukupnya

Dengan mendapatkan tidur yang cukup di malam hari dapat membantu tubuh badan berfungsi dengan baik terutama sistem penghadaman yang merupakan salah satu system yang penting dalam badan manusia.