Demi meneruskan kelangsungan hidup dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad telah menyarankan agar isu ini dilihat sebagai salah satu isu yang perlu diberi perhatian. Oleh yang demikian, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan agar kategori bujang yang berpendapatan kecil juga perlu dibantu dengan memberi bantuan yang selayaknya. Bagi mencapai hasrat tersebut, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa kategori individu bujang juga layak menerima bantuan. Setiap individu bujang yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) 2018 serta menepati syarat yang ditetapkan akan diberi bantuan sebanyak RM 100. Biarpun jumlah bantuan adalah agak kecil berbanding bantuan yang diterima oleh kategori ini semasa menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kadar RM 450, namun ia dilihat sebagai satu langkah positif yang dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin serta berjiwa rakyat. Semasa pembentangan bajet 2019 November yang lalu, Kabinet telah mengumumkan bahawa BSH tidak diberikan kepada kategori bujang, tetapi lebih menumpukan perhatian terhadapa golongan berkeluarga. Bantuan disalurkan kepada keluarga dengan kadar bantuan tambahan mengikut bilangan anak. Biarpun pengumuman itu telah dibentangkan dalam Kabinet, namun perubahan yang dibuat demi memberi manfaat kepada 3 juta individu yang terlibat menunjukkan kerajaan hari ini bersikap lebih prihatin dengan keadaan semasa. Bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat turut dirasai oleh kerajaan Pakatan Harapan, maka tidak hairanlah pihak kerajaan sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM 300 juta semata – mata untuk melihat rakyat hidup lebih selesa. Setiap individu bujang yang layak akan menerima bantuan terus melalui akaun bank yang didaftarkan mulai hujung Mac ini.
Biarpun bantuan ini akan disalurkan mulai Mac 2019, namun Menteri Kewangan turut menjelaskan bahawa kadar bantuan BSH ini akan dikaji semula dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. Beberapa syarat perlu dipenuhi oleh individu bujang sebelum membuat permohonan di mana syarat – syarat yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut ;
- Berpendapatan tidak melebihi RM 4000 sebulan
- Tidak tinggal dan menetap di luar negara
- Dokumen mesti lengkap semasa membuat permohonan
- Tidak memiliki sebarang perniagaan atau perniagaan pemilikan tunggal
- Tidak memiliki Pengkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
- Bukan merupakan pemegang saham / pengarah syarikat
- Tidak memiliki kenderaan dalam negara melebihi 2,000 cc
- Tidak memiliki kenderaan luar negara melebihi 1,400 cc
- Tidak memiliki motosikal melebihi 500 cc
- Tidak mempunyai transaksi milikan hartanah melebihi RM 500,000
Bagi individu yang tidak menepati syarat yang ditetapkan, permohonan akan ditolak. Namun, boleh membuat rayuan untuk mendapatkan bantuan. Pada masa ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak LHDN samada pemohon BSH kategori bujang terdahulu perlu membuat pengemaskinian permohonan ataupun sebaliknya. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pihak sekretariat BSH 2019 di talian bebas tol iaitu 1-800-88-2747 atau emelkan pertanyaan anda ke [email protected].