Bayaran BSH Fasa 2 Diawalkan

Setiap tahun, bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) dibayar secara berperingkat iaitu pada bulan Januari, Mei dan Ogos. BSH Fasa 1 telah dibayar pada 20 Januari 2020, manakala pembayaran Fasa 2 dijangka pada bulan Mei 2020. Walau bagaimana pun, BSH Fasa 2 yang dijadualkan pembayaran pada bulan Mei 2020 telah diawalkan pada bulan Mac 2020. Pengumuman ini telah dibuat oleh Perdana Menteri Interim, Tun Mahathir Mohamad semasa pembentangan bajet Pakej Ransangan Ekonomi 2020. Pembayaran BSH Fasa 2 yang diawalkan ini bagi meransang ekonomi domestik yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tarikh sebenar bagi pembayaran BSH Fasa 2 yang dijangka pada Mac ini belum dapat dimuktamadkan.

Bagi pembayaran BSH Fasa 2 ini, kerajaan juga telah memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM 150 untuk setiap penerima. Sebanyak RM 100 akan dikreditkan terus ke akaun penerima pada bulan Mei, manakala RM 50 lagi bayar melalui e-wallet penerima BSH. Penerima bantuan dinasihatkan agar memuat turun aplikasi ewallet, mendaftar serta mengaktifkan akaun e-wallet masing – masing sebelum bulan Mei bagi melancarkan proses penerimaan bantuan RM 50. Terdapat 3 akaun ewallet yang boleh digunakan bagi tujuan pembayaran dana tambahan ini. Penerima BSH boleh memilih samada ewallet Touch N Go, Grab Pay atau Boost. Ketiga – tiga ewallet ini memiliki kelebihan serta ciri – ciri yang tersendiri. Setiap pengguna ewallet ini perlu membuat verifikasi akaun terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan ewallet ini sepenuhnya.

Penerima BSH kategori isi rumah akan menerima pembayaran kedua sebanyak RM 200 pada Fasa 2. Bagi penerima kategori individu bujang serta OKU akan turut menerima BSH pada fasa ini di mana bantuan dibayar secara sekaligus. Bantuan sebanyak RM 120 akan dibayar sekali gus bagi setiap anak yang berumur di bawah 18 tahun pada Fasa 2. Ia terhad kepada empat orang anak sahaja, namun sekiranya memiliki anak OKU, had umur tidak ditetapkan untuk bantuan tambahan ini.

Pembayaran BSH akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima menggunakan maklumat akaun bank yang didaftarkan. Walau bagaimana pun, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan membuka akaun bank secara automatik bagi penerima BSH seperti mana persetujuan yang ditetapkan dalam borang permohonan BSH 2020. Penerima bantuan bagi kategori bujang dan OKU secara automatik menjadi penerima skim insurans Takaful MySalam secara percuma.