Keadaan sosial dan ekonomi seluruh negara begitu terkesan dengan penularan wabak Covid – 19 yang sedang melanda termasuklah di Malaysia. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak ini dari terus merebak dan seterusnya dapat memutuskan rangkaian wabak ini. Bagi memastikan arahan kerajaan ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, kesemua premis kerajaan, swasta serta persendirian dihentikan operasi buat sementara waktu sehingga wabak ini berakhir.
Pelaksanaan PKP ini turut menjejaskan sumber pendapatan beberapa golongan yang terdiri dari peniaga pasar malam, penjaja gerai makanan dan golongan yang bekerja dengan pendapatan harian. Sebagai ketua keluarga, sekiranya keadaan ini berterusan akan turut menjejaskan kehidupan seharian sesebuah keluarga dan pelbagai masalah terpaksa dihadapi pada masa akan datang. Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) selaku pentadbir zakat negeri Pulau Pinang telah menyediakan kemudahan bantuan khas Covid – 19 buat penerima bantuan yang layak.
Tujuan Bantuan
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyediakan bantuan khas Covid -19 atas beberapa tujuan seperti berikut :
- Membantu golongan asnaf dan fakir miskin yang kehilangan punca pendapatan
- Mengeratkan hubungan antara MAINPP dan para peniaga kecil termasuk usahawan Muslim bumiputera
- Sebagai sokongan dari pihak kerajaan bagi menjaga kebajikan rakyat serta keselamatan mereka dalam membendung penularan wabak Covid – 19 ini
Kumpulan Sasaran
Terdapat dua kumpulan sasaran yang akan menerima bantuan khas Covid – 19 ini. Kumpulan sasaran yang akan menerima bantuan terdiri dari berikut :
- Kumpulan Sasaran Fasa 1
Bantuan akan diberikan kepada beberapa kumpulan asnaf dan fakir miskin seperti berikut :
- Penjaja / peniaga makanan dan minuman di pasar malam, pasar tani, penjaja tepi jalan atau di sekitar blok perumahan
- Peniaga pakaian, barang keperluan dapur / rumah di pasar tani, pasar malam dan juga kawasan blok perumahan
- Tukang gunting rambut di kedai kecil – kecilan (bukan salon)
- Peniaga pasar basah atau pasar pagi tidak termasuk dalam skim bantuan ini
- Kumpulan Sasaran Fasa 2
Bantuan akan diberikan kepada beberapa kumpulan asnaf seperti berikut :
- Pemandu teksi sepenuh masa
- Pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa
- Pekerja yang mempunyai gaji harian sepenuh masa
Syarat – syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Pulau Pinang
- Mestilah beragama Islam
- Menjalankan perniagaan / menjalankan perkhidmatan teksi / e-hailing di Pulau Pinang secara sepenuh masa
- Peniaga separuh masa adalah tidak layak memohon
- Berpendapatan bulanan di bawah RM2,000.00 dan tidak mempunyai wang simpanan melebihi RM5,000.00
- Hanya ketua keluarga sahaja yang layak memohon bagi setiap keluarga atau isi rumah seperti berikut :
- Suami : Jika berkahwin
- Isteri : Jika bercerai (cerai hidup / cerai mati) atau ditinggalkan suami tanpa nafkah
- Anak : Jika ibu bapa uzur dan tidak mampu bekerja
- Pemohon perlu membuat permohonan dengan melengkapkan borang Zakat Pulau Pinang (ZPP) secara atas talian di laman web rasmi ZPP di http://zakatpenang.com dan menyimpan maklumat permohonan sebagai rujukan peribadi.
- Pihak ZPP hanya akan memproses permohonan serta dokumen yang lengkap sahaja
Dokumen Yang Diperlukan
- Salinan kad pengenalan pemohon
- Salinan penyata akaun atau pengesahan akaun bank
- Permit dan lesen PSV (pemandu teksi & e-hailing)
- Penyata pendapatan terkini (pemandu e-hailing)
- Pengesahan majikan untuk pekerja gaji harian sekiranya ada
Kadar Bantuan
Kadar bantuan yang akan diterima oleh pemohon adalah sebanyak RM 500 dengan menggunakan peruntukan asnaf tawaqquf, miskin sebanyak RM 2.5 juta. Bantuan ini dianggarkan dapat membantu meringankan bebanan seramai 5000 orang. Pemohon juga perlu mengemukakan pengesahan daripada pihak kariah Masjid di tempat pemohon bermastautin. Selain itu, sebanyak RM306,500 turut disalurkan kepada 764 buah surau dan masjid di seluruh Pulau Pinang dengan kadar bantuan RM400 bagi tujuan pembersihan serta nyahkuman bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
Tarikh Permohonan
Tarikh permohonan untuk Kumpulan Sasaran Fasa 1 adalah mulai 23 Mac hingga 27 Mac 2020 manakala untuk Kumpulan Sasaran Fasa 2 pula adalah mulai 1 April hingga 5 April 2020.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkenaan bantuan zakat ini, sila hubungi talian 04-5498088 atau faks 04 5306466