Bantuan Kebajikan Masyarakat

 

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan pelbagai bantuan serta kemudahan kepada kumpulan sasar yang memerlukan. Bantuan – bantuan ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada penerima bantuan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sempurna biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan.

Skim bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah sebagai medium untuk memulihkan, mencegah, membangun serta mengintegrasikan kehidupan para penerima bantuan. Selain itu, bantuan yang diberikan adalah untuk membantu kumpulan sasar ini untuk terus produktif dan berdikari.

Bantuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seperti berikut :

 

 Bantuan Kanak-Kanak (BKK)

 

  • Bantuan ini bertujuan membantu golongan keluarga / penjaga / kanak – kanak atau membantu anak / kanak – kanak yang kehilangan atau tiada penjaga supaya mereka dapat terus tinggal bersama – sama keluarga tanpa menjejaskan kelangsungan hidup kanak – kanak mengikut setiap lapisan peringkat
  • Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan serta memelihara sesebuah institusi keluarga yang terlibat dalam memberi penjagaan sempurna terhadap kanak – kanak termasuklah kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya
  • Kadar minima yang diberikan adalah sebanyak RM 100 sebulan dan kadar maksima sebanyak RM 450 sebulan untuk seisi rumah bagi yang mempunyai lebih 4 orang kanak – kanak

 

 Elaun Pekerja Cacat (EPC)

 

  • Bantuan elaun ini diberikan kepada golongan OKU bagi menggalakkan mereka untuk terus bekerja serta mampu hidup berdikari serta boleh menjadi ahli masyarakat yang lebih produktif
  • Kadar elaun yang diberikan adalah sebanyak RM 400 sebulan

  Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)

 

  • Bantuan ini diberikan bagi membantu golongan OKU yang tidak berupaya bekerja meneruskan kehidupan serta menggalakkan mereka untuk terus tinggal bersama – sama keluarga
  • Kadar bantuan yang diberikan kepada golongan ini adalah sebanyak RM 250 sebulan

 

Bantuan Penjagaan OKU Yang Terlantar / Pesakit Kronik Yang Terlantar (BPT)

 

  • Bantuan ini diberikan kepada keluarga yang menjaga individu OKU yang terlantar sakit / pesakit kronik
  • Ia bagi meringankan bebanan serta menggalakkan keluarga atau penjaga untuk menjaga serta memberi perhatian terhadap pesakit tersebut
  • Kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 350 sebulan seorang

 

  Bantuan Orang Tua (BOT)

 

  • Bantuan ini diberikan kepada golongan warga emas bagi meneruskan kehidupan dalam sesebuah komuniti tanpa sebarang masalah
  • Bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 350 sebulan dan diberikan kepada warga emas yang berumur 60 tahun keatas

 

 

 Bantuan Am Persekutuan (BA)

 

  • Bantuan ini diberikan kepada penerima yang layak bagi menampung kos sara hidup individu ataupun keluarga
  • Kumpulan sasar yang layak menerima bantuan ini adalah mereka yang tidak menerima sebarang bantuan lain
  • Kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 100 sebulan dan maksima sebanyak RM 350 sebulan bagi sebuah keluarga

  Bantuan Anak Pelihara (BAP)

  • Bantuan ini diberikan kepada penjaga yang memelihara kanak – kanak yatim / yatim piatu atau yang kurang bernasib baik serta tidak mempunyai saudara mara lain supaya mereka terus dapat tinggal bersama – sama dalam masyarakat serta keluarga dan berumur bawah 18 tahun
  • Ia juga bagi meringankan beban serta tanggungan keluarga yang sanggup menjaga anak – anak ini seperti anak sendiri
  • kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 250 sebulan dan kadar maksima sebanyak RM 500 sebulan bagi keluarga yang memelihara 2 orang kanak – kanak atau lebih

 


  Bantuan Latihan Perantis (BLP)

  • Bantuan ini adalah untuk membantu anak – anak penerima bantuan yang tercicir dari sekolah, yang menganggur serta bekas pelatih atau bekas penghuni pusat kebajikan bagi mendapat latihan kemahiran atau latihan sambil bekerja
  • Penerima layak mendapat bantuan sebanyak RM 200 sebulan dan kelulusan adalah berdasarkan kepada tempoh latihan dengan tempoh maksima 24 bulan

 

Bantuan Geran Pelancaran (GP)

  • Bantuan geran ini diberikan kepada kumpulan sasar JKM yang mempunyai minat, kemahiran serta berpotensi menjana pendapatan pendapatan individu atau keluarga
  • Ia juga bertujuan untuk memperkasakan taraf ekonomi kumpulan sasar ini
  • Bantuan ini dilihat dapat membantu individu terbabit mencapai impian ke arah yang lebih berdikari
  • Sebanyak RM 2,700 akan diberikan sekaligus kepada penerima yang layak

Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT)

 

  • Bantuan ini diberikan kepada individu yang kurang berkemampuan untuk membeli anggota palsu atau alat bantuan sokongan seperti yang diperlukan dan disyorkan oleh Pegawai Perubatan (hospital kerajaan / swasta) atau juga pegawai JKM mengikut jenis keperluan dan ketidakupayaan
  • Bantuan ini adalah supaya individu terbabit mampu menjalani kehidupan seperti biasa
  • Bantuan yang diberikan adalah mengikut harga sebenar yang ditetapkan
  • Jenis peralatan / alat sokongan yang dibenarkan adalah anggota palsu, kerusi roda, alat bantuan pendengaran, alat keperluan lain serta penggantian / baik pulih alat

 

Tabung Bantuan Segera (TBS)

 

  • Bantuan ini diberikan serta merta kepada kumpulan sasar yang layak sebanyak RM 300 yang dibayar sekaligus

 

  • Ia bagi membantu menangani isu berkaitan kebajikan kumpulan sasar dengan segera

 

Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas 

 

  • Bantuan ini diberikan kepada mangsa atau keluarga mangsa yang menghadapi serangan binatang buas
  • Sebanyak RM 20,000 diberikan untuk kes – kes yang melibatkan kematian atau kecacatan kekal
  • Bagi kes kecacatan atau hilang upaya sebahagian, kadar bantuan akan ditentukan berdasarkan peratusan dan kategori kecederaan

Cara Permohonan Bantuan Kebajikan Masyarakat

Setiap permohonan perlu dihantar kepada mana – mana cawangan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berhampiran dengan mengisi borang yang berkaitan atau di link di atas. Bantuan akan diberikan kepada pemohon yang layak berdasarkan syarat – syarat yang ditetapkan. Jawatankuasa siasatan akan membuat penilaian terhadap permohonan sebelum bantuan diluluskan.