Ibu tunggal merupakan golongan yang layak menerima pelbagai bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Namun, kelulusan penerimaan bantuan kewangan ini adalah tertakluk kepada syarat – syarat yang telah ditetapkan. Satu siasatan terperinci akan dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum keputusan dibuat. Jabatan Kebajikan Masyarakat merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ianya perlu mendapat pertimbangan dari Pegawai Pelulus terlebih dahulu.
Setiap kelulusan penerima bantuan kewangan adalah berdasarkan kepada hasil siasatan yang dilakukan dan pertimbangan oleh Pegawai Pelulus. Bagi membantu golongan ibu tunggal, JKM telah menyediakan bantuan berikut untuk golongan terbabit seperti :
Bantuan Kanak – Kanak (BKK)
- Bantuan ini diberikan bagi membantu kanak – kanak yang berkeperluan serta miskin supaya dapat meneruskan kehidupan bersama keluarga serta mendapat penjagaan, kasih sayang serta perhatian yang sewajarnya
- Ia juga bagi membantu memperkukuhkan serta memelihara institusi keluarga yang terlibat dapat menjaga anak dengan lebih teratur dan sempurna
- Bantuan ini layak diterima oleh keluarga yang sedang menjaga anak berumur 18 tahun dan ke bawah, masih bersekolah, anak yatim / yatim piatu serta kanak – kanak yang mempunyai ibu bapa / penjaga yang tiada mata pencarian / uzur / cacat / berpenyakit atau juga merupakan tanggungan banduan atau pusat tahanan
- Bantuan ini diberikan selama 12 bulan dengan jumlah minima RM 100 sebulan untuk seorang dan jumlah maksima sebanyak RM 450 sebulan untuk keluarga yang mempunyai lebih 4 orang kanak – kanak
Bantuan Am Persekutuan
- Bantuan ini diberikan kepada para ibu tunggal yang tidak mempunyai anak.
- Bantuan Am ini boleh diberikan supaya ia dapat menampung perbelanjaan harian individu atau keluarga.
- Kadar yang diberikan adalah sebanyak RM 100 sebulan untuk seorang.
Bantuan Orang Tua
- Bantuan ini diberikan kepada ibu tunggal yang telah berusia 60 tahun ke atas.
- Golongan ini adalah layak untuk dipertimbangkan menerima Bantuan Orang Tua iaitu RM 300 sebulan.
- Ia bagi membolehkan warga tua tersebut dapat terus tinggal dalam sesebuah komuniti serta meneruskan kehidupan seperti biasa.
- Penerima bantuan ini mestilah tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan untuk menyara hidup
- Tidak mempunyai keluarga atau keluarga tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan
Bantuan Geran Pelancaran (GP)
- Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan Bantuan Geran Pelancaran kepada kumpulan sasar bagi membolehkan mereka yang berpotensi untuk maju memulakan perniagaan secara kecil – kecilan.
- Bantuan ini sebagai galakan kepada penerima bantuan untuk meningkatkan taraf hidup mereka tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan
- Individu yang layak adalah golongan yang sedang menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Geran ini diberikan secara sekaligus dengan nilai maksima RM 2,700 sahaja.
5) Skim Bantuan Kredit / Pinjaman dari NGO
Beberapa syarikat lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama – sama membantu golongan ibu tunggal dengan menyediakan pelbagai kemudahan serta pembiayaan kredit bagi golongan ini dapat meneruskan kehidupan serta dapat meningkatkan taraf pendapatan mereka. Antara NGO yang terlibat dalam kemudahan bantuan ini adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Yayasan Tekun Nasional (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Program e-Kasih yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.
Tujuan utama bantuan diberikan oleh para NGO adalah untuk membangunkan potensi setiap wanita terutamanya yang bergelar ibu tunggal. Ia juga bagi memperkukuhkan taraf kehidupan wanita sebagai jentera pembangunan dasar. Bantuan ini dapat memberi ilmu serta latihan kepada golongan wanita, dapat membasmi kemiskinan yang dihadapi oleh golongan ini.
Cara Memohon Bantuan
Permohonan bantuan boleh dibuat di semua cawangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan perlu didaftarkan terlebih dahulu dan siasatan akan dibuat bagi membuat penilaian (means-tested) terhadap kes yang didaftarkan bagi mengesahkan samada pemohonan adalah layak menerima bantuan ataupun tidak. Ini kerana sesuatu bantuan yang akan diberikan adalah berdasarkan kepada kelayakan dan ia bukanlah bersifat hak.
Pemohon perlu membawa semua dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Bahagian. Dokumen yang diperlukan adalah seperti salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak / ahli keluarga yang tinggal bersama – sama, salinan penyaya gaji (jika ada) serta lain – lain dokumen yang berkaitan.
Bagi mendapatkan bantuan dari pihak NGO pula, pemohon perlu mengemukakan permohonan terus ke agensi yang berkenaan dengan melampirkan dokumen – dokumen yang diperlukan.