Kerajaan MADANI kali ini telah memperkenalkan inisiatif baru buat pengguna petrol RON95 yang lebih menguntungkan. Melalui BUDI95, pengguna dapat menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi. Inisiatif ini antara usaha yang diperkenalkan bagi membantu meringankan kos sara hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
BUDI95 juga diperkenalkan bagi mengelakkan subsidi ini disalahguna oleh golongan yang tidak bertanggungjawab seperti mana sebelum ini ramai yang menikmati subsidi tanpa had sehingga membolehkan penyeludupan petrol ke negara jiran yang harganya jauh lebih tinggi. Berdasarkan data Kerajaan juga menunjukkan bahawa purata penggunaan petrol adalah sekitar 80 liter sebulan. Selain itu, Syarikat-syarikat komersial juga turut mengaut keuntungan yang lebih besar dengan adanya subsidi penuh sebelum ini.
Pengguna boleh membeli petrol RON95 bersubsidi berdasarkan kuota yang diberikan iaitu 300 liter sebulan. Namun sekiranya kuota tersebut telah habis, pengguna perlu membuat pembelian pada harga pasaran yang ditetapkan iaitu RM2.60 seliter. Pembelian petrol RON95 juga tidak terhad kepada sekali sehari pengisian. Walau bagaimana pun, pengguna yang memandu kenderaan bernombor pendaftaran luar negara tidak boleh membeli petrol RON95 pada harga subsidi biarpun merupakan rakyat Malaysia yang sah.
Pemandu e-hailing yang bekerja sepenuh masa berkemungkinan berhadapan dengan kuota yang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan sedang merangka penyelesaian isu ini dengan mengadakan perbincangan Bersama pihak Syarikat pengenali e-hailing (EHO).
Syarat Kelayakan
- Bertaraf warganegara Malaysia dan pemegang kad pengenalan Malaysia
- Memiliki lesen memandu yang sah dan aktif iaitu :
- Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA); atau
- Lesen Belajar Memandu (LDL) (Kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C);
Cara Menyemak Kelayakan
-
- Layari laman web rasmi www.budimadani.gov.my
- Melalui aplikasi TNG e-Wallet yang didaftarkan
- Hubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 atau emel [email protected]
- Hadir ke cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran
Cara Membuat Pembelian BUDI95
Pengguna boleh membuat pembelian di stesen minyak seluruh negara dengan hanya beberapa langkah mudah iaitu seperti berikut:
- Terminal MyKad BUDI95
- Indoor Payment Terminal (IPT)
- Outdoor Payment Terminal (OPT)
- Aplikasi e-dompet @ Touch n Go
- Aplikasi syarikat pengeluar minyak
Terminal MyKad BUDI95
- Pengguna perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di terminal dengan menyerahkan MyKad kepada kakitangan stesen minyak yang bertugas
- MyKad perlu diimbas bagi tujuan pengesahan kelayakan
- Sekiranya Berjaya, kod QR butiran transaksi akan dipaparkan untuk dimasukkan ke dalam sistem tempat jualan (POS)
- Pengguna perlu membayar harga petrol yang diingini dan resit dikeluarkan bagi tujuan rekod
- Setelah membuat bayaran, pam akan diaktifkan dan pengisian minyak boleh dilakukan seperti biasa
Terminal Pembayaran Dalam Kedai (Indoor Payment Terminal (IPT)
- Serahkan MyKad bagi tujuan pengesahan kepada staff yang bertugas
- MyKad akan diimbas untuk pengesahan dan sekiranya layak, pelanggan perlu memaklumkan jumlah petrol yang ingin dibeli
- Setelah pengesahan Berjaya, pelanggan perlu membuat bayaran seperti yang dipinta dan resit akan dikeluarkan
- Pam akan diaktifkan, pengisian petrol boleh mula dilakukan
Terminal Pembayaran Luar Kedai (Outdoor Payment Terminal (OPT)
- Imbas MyKad di OPT untuk pengesahan
- Skrin akan memaparkan maklumat sekiranya anda layak
- Sentuh atau masukkan kad kredit/debit di terminal untuk proses selanjutnya
- Masukkan jumlah RM yang diinginkan
- Sekiranya berjaya, sahkan permohonan dan bayaran akan dibuat terus melalui kad debit/kredit
- Pam diaktifkan dan pelanggan boleh mula membuat pengisian petrol berdasarkan jumlah yang telah dibayar
Aplikasi TNG Digital
- Sebelum boleh menggunakan aplikasi TNG Digital, pelanggan perlu membuat pengesahan e-KYC terlebih dahulu
- Pengesahan kelayakan akan dipaparkan dalam aplikasi ini
- Pelanggan perlu memilih stesen minyak, nombor pam serta jumlah petrol yang dikehendaki melalui aplikasi TNGD
- Kemukakan kod QR TNGD yang dipaparkan kepada juruwang untuk diimbas terlebih dahulu sebagai bukti pembayaran dan masukkan butiran ke dalam sistem sekiranya ia disokong
- Sekiranya fungsi tidak disokong, juruwang perlu memasukkan butiran pembelian seperti yang tertera di aplikasi TNGD pelanggan
- Pam akan diaktifkan dan pelanggan boleh mula mengisi petrol
Aplikasi Syarikat Minyak
- Sebelum menggunakan BUDI95, pelanggan perlu membuat pengesahan e-KYC terlebih dahulu
- Aplikasi ini akan memaparkan kelayakan pelanggan
- Pilih nombor pam dan stesen minyak yang tepat
- Masukkan jumlah petrol RON95 yang diingini
- Setelah pesanan disahkan, pembayaran perlu dilakukan terus melalui aplikasi
- Sekiranya berjaya, pam akan diaktifkan dan pelanggan boleh mula membuat pengisian petrol
- Jika mengalami sebarang masalah dan pembayaran telah pun berjaya dilakukan, tunjukkan bukti pembayaran kepada staf bagi tujuan pengaktifan pam
Harga yang dipaparkan di pam adalah harga tanpa subsidi. Namun, pelanggan boleh menyemak resit yang dikeluarkan kerana ianya akan memaparkan jumlah harga subsidi, harga tanpa subsidi RON95 dan jumlah liter keseluruhannya. Sekiranya kuantiti petrol yang diisi melebihi kapasiti kenderaan, pelanggan akan menerima semula lebihan wang BUDI95 yang telah dibayar melalui cara pembayaran asal. Baki liter juga akan dikembalikan semula kepada kuota yag ditetapkan.
Dengan adanya BUDI95, rakyat akan mendapat manfaat yang lebih menguntungkan. Kedudukan kewangan negara akan menjadi lebih kukuh dan stabil malah lebih berdaya tahan tatkala menghadapi cabaran ekonomi global pada masa hadapan. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan defisit fiskal negara serta dapat membantu keyakinan pelabur untuk terus menambah serta meningkatkan pelaburan dalam negara.
