Cinta adalah suatu perkara yang akan berlaku dalam kehidupan pasangan yang sedang hangat dilamun asmara. Ia telah menjadi lumrah dalam kehidupan seorang teruna atau dara untuk mengikat hati pasangan masing-masing dengan satu ikatan yang sah disebut sebagai perkahwinan. Walau bagaimanapun, kehidupan di alam perkahwinan begitu berbeza dengan kehidupan orang bujang. Ini menyebabkan mereka perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baru untuk membahagiakan hati dan perasaan di antara satu dengan lain.
Peceraian
Kehidupan perkahwinan juga adalah kehidupan yang begitu kritikal dalam membina asas keluarga yang bahagia. Salah satu daripada pasangan yang telah berkahwin perlu mempunyai sifat untuk bertolak-ansur, sabar, dan tidak mengikut kemahuan hati sehingga mereka menyebabkan jatuhnya tembok perkahwinan yang telah kukuh dengan niat menggunakan talak atau penceraian sebagai senjata akhir dalam pergaduhan atau perselingkahan antara pasangan. Namun, manusia tidak mampu lari daripada melakukan kesilapan atau kesalahan yang menyebabkan banyaknya kes penceraian setiap hari.
Akhir-akhir ini, seorang isteri sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga akibat daripada ketakupayaan seorang suami untuk memimpin keluarga dan tidak kurang juga hebatnya apabila seorang isteri tidak mampu untuk memelihara amanah seorang suami untuk membantu mereka dalam menguruskan rumah tangga. Justeru itu, beberapa kerajaan negeri termasuk Selangor dan Johor telah memudahkan lagi proses permohonan cerai dengan menawarkan permohonon tersebut secara atas talian.
Mereka yang ingin membuat permohonan bagi kes penceraian perlu menyediakan sijil nikah, salinan kad pengenalan, dan salinan surat beranak mengikut bilangan anak sekiranya pasangan mempunyai anak. Borang Permohonan Cerai akan menjadi efektif dari hari pertama ia dihantar dan selewat-lewatnya 21 hari dari tarikh ia dihantar. Jawatankuasa Pendamai akan menjadi salah satu penyelesaian dalam kes membuat permohonan cerai apabila seorang suami tidak mahu untuk melafazkan cerai terhadap isterinya.
Hal yang timbul daripada penggunaan sistem cerai cara lama juga menyebabkan pasangan yang ingin bercerai perlu menghadiri ke mahkamah beberapa kali daripada proses pertama hingga ke akhir. Bagi menyelesaikan tempoh kes ini, kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan ‘My Solve’ iaitu aplikasi permohonan cerai yang pertama di Malaysia. Perkara ini telah diterangkan oleh Datuk Dr. Mohd. Nizar Zakaria iaitu Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, dan Pembangunan Sahsiah Negeri sebagai langkah lebih mudah dalam memastikan pasangan yang ingin bercerai mengambil masa yang lebih singkat antara satu hari atau satu minggu.
Kesimpulannya, aplikasi My Solve telah memudahkan seseorang membuat permohonon cerai lebih singkat dan lebih murah iaitu dengan harga RM50 berbanding daripada permohonan cara lama. Maklumat lanjut mengenai permohonan cerai My Solve atas talian boleh dirujuk pada alamat laman sesawang Jabatan Kehakiman Syariah Perak di http://mysolve.perak.gov.my