Sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 dari terus menular, ramai yang terkesan dengan arahan kerajaan ini. Pelaksanaan PKP mulai 18 Mac 2020 telah menyebabkan orang ramai tidak dibenarkan keluar dari rumah seperti biasa dan sebarang pekerjaan perlu dilaksanakan dari rumah sahaja melainkan kakitangan yang bertugas di barisan hadapan. Pelbagai sektor terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga wabak Covid-19 dapat dibendung dari terus merebak.
Antara industri yang turut terkesan dan terkena tempias ini adalah industri kreatif. Tiada sebarang aktiviti dibenar untuk diteruskan pada ketika ini dan sudah tentu ia turut menjejaskan sumber pendapatan golongan yang terbabit. Justeru, bagi membolehkan industri kreatif ini dapat diteruskan, pihak kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) telah memperkenalkan beberapa geran bagi membantu sektor ini bangkit semula dan merancakkan ekonomi negara.
Geran yang diperkenalkan melalui PENJANA akan diuruskan oleh MyCreative Ventures yang juga dikawal selia oleh Kemententeri Komunikasi dan Multimedia akan memberi manfaat kepada industri seni, budaya, hiburan dan pementasan untuk terus berkarya. Terdapat 3 jenis bantuan ditawarkan di bawah pelan GPIK, antaranya :
- Geran Pementasan Acara dan Pameran Digital (GPIK Pementasan Digital)
- Geran Sastera dan Terbitan Buku (GPIK Sastera)
- Geran Filem Cereka Seni / Festival (GPIK Filem Seni)
Geran Pementasan Acara dan Pameran Digital (GPIK Pementasan Digital)
- Bantuan ini diberikan bagi membolehkan para penggiat seni memulakan semula program acara langsung, pertunjukan serta persembahan kreatif yang tergendala akibat Covid-19
- Sebarang acara atau program yang hendak dilaksanakan mestilah relevan dengan industri kreatif dan mendapat sokongan dari MyCreative Ventures dan KKMM
- Bantuan yang diberikan dalam geran ini meliputi kos untuk menerapkan aspek digital dan tontonan secara online kepada pementasan acara langsung dan juga persembahan, bantuan untuk kos tambahan untuk menerapkan ciri – ciri keselamatan awam, bantuan untuk kos mengatur semula acara yang telah tergendala serta bantuan terhadap sebarang kos yang boleh dipertimbangkan
- Syarat – syarat khusus bagi permohonan ini adalah seperti berikut :
- Merupakan sebuah syarikat (Sdn Bhd)
- Pemilikan sah dan kepentingan syarikat merupakan milik warganegara Malaysia iaitu sebanyak 50%
- Sebarang persembahan, acara langsung atau pertunjukan mestilah diadakan di dalam negara sahaja
- Pemohon mestilah mengemukakan sebarang bukti bahawa projek yang dirancang telah tergendala serta mengalami kos tambahan akibat Covid-19
- Pemohon tidak berada dalam perintah penggulungan
- Terdapat 4 tarikh pusingan penerimaan permohonan bagi geran ini iaitu :
- Pusingan pertama – 30 Julai 2020
- Pusingan kedua – 31 Ogos 2020
- Pusingan ketiga – 1 Oktober 2020
- Pusingan keempat – 2 November 2020
Geran Sastera & Terbitan Buku (GPIK Sastera)
- Bantuan ini dikhaskan buat para penerbit buku tempatan, majalah serta karyawan buku bagi memudahkan kelangsungan aktiviti kajian, penulisan, penerbitan, jualan, promosi karya sastera tempatan, fiksyen, bukan fiksyen, novel grafik, komik, puisi, biografi, kajian dan juga laporan.
- Bantuan yang diberikan meliputi kos menerapkan aspek digital serta saluran jualan secara online kepada operasi syarikat, kos promosi jualan secara online, kos penghantaran karya, kos pengeluaran manuskrip pertama serta sebarang kos tambahan yang dinilaikan secara wajar
- Syarat – syarat khusus bagi permohonan ini adalah seperti berikut :
- Terbuka kepada individu, syarikat perniagaan, pertubuhan, perkongsian yang ditubuhkan di Malaysia
- Merupakan warganegara Malaysia bagi pemohon individu
- Pemilikan sah dan kepentingan syarikat merupakan milik warganegara Malaysia iaitu sebanyak 50% bagi permohonan dari syarikat atau perkongsian
- Pemohon tidak berada dalam perintah penggulungan (syarikat) atau bukan individu muflis (individu)
- Terdapat 3 tarikh pusingan penerimaan permohonan bagi geran ini iaitu :
- Pusingan pertama – 31 Ogos 2020
- Pusingan kedua – 1 Oktober 2020
- Pusingan ketiga – 2 November 2020
Geran Filem Cereka Seni / Festival (GPIK Filem Seni)
- Bantuan ini membolehkan aktiviti pemulihan filem cereka seni atau filem cereka festival tempatan dilaksanakan melalui kelangsungan pembangunan dan penerbitan filem
- Syarat – syarat khusus bagi permohonan ini adalah seperti berikut :
- Merupakan sebuah syarikat (Sdn Bhd)
- Pemilikan sah dan kepentingan syarikat merupakan milik warganegara Malaysia iaitu sebanyak 50%
- Memiliki modal berbayar yang sesuai dengan jumlah bantuan yang dimohon
- Menyediakan kertas cadangan dan / pitch trailer-teaser
- Pemohon tidak berada dalam perintah penggulungan
- Hasil projek menjadi hak milik penerima dana dan penerima dana perlu mendaftar IP kepada MyIPO
- Terdapat 4 tarikh pusingan penerimaan permohonan bagi geran ini iaitu :
- Pusingan pertama – 30 Julai 2020
- Pusingan kedua – 31 Ogos 2020
- Pusingan ketiga – 1 Oktober 2020
- Pusingan keempat – 2 November 2020
Kelayakan Umum Permohonan
Setiap pemohon mestilah melepasi kelayakan umum terlebih dahulu sebelum membuat permohonan seperti berikut :
- Merupakan seorang penggiat dan menjalankan perniagaan di dalam bidang industri kreatif
- Merupakan warganegara Malaysia dan / atau syarikat yang majoriti pemilikan adalah warganegara Malaysia
- Berpengalaman sekurang-kurangnya enam (6) bulan di dalam bidang yang berkaitan sesuai dengan geran yang dipohon
Tarikh Permohonan Gpik
- Tarikh permohonan dibuka untuk Geran Pementasan Acara & Pameran Digital dan Geran Filem Cereka Seni atau Festival adalah mulai 16 haribulan Julai 2020 sehingga semua dana diperuntukkan diguna pakai
- Tarikh permohonan dibuka untuk Geran Sastera & Penerbitan Buku adalah mulai 28 haribulan Julai 2020 sehingga semua dana yang diperuntukkan diguna pakai
Cara Permohonan
- Permohonan boleh dibuat secara atas talian di laman web www.mycreative.com.my mulai 16 Julai 2020
- Mestilah melengkapkan semua maklumat yang diperlukan seperti pengenalan pemohon, portfolio dan sejarah / rekod prestasi terdahulu, projek yang dicadangkan dan bantuan yang diperlukan serta bahan dan dokumen sokongan projek
- Permohonan yang tidak memenuhi kelayakan umum akan ditolak
- Sekiranya permohonan tidak lengkap, pihak urusetia akan memaklumkannya melalui emel
- Pemohon yang berjaya disenarai pendek akan dihubungi dalam masa dua minggu selepas tarikh tutup permohonan ditutup
- Sesi pembentangan serta temuduga akan dibuat bagi tujuan saringan / pemilihan
- Pemohon yang berjaya / gagal akan dimaklumkan oleh MyCreative melalui emel selepas dua minggu sesi penilaian dibuat
- Sekiranya berjaya, pemohon perlu menandatangani surat perjanjian dengan MyCreative
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut berkenaan bantuan ini boleh diajukan kepada pihak MyCreative melalui [email protected] atau melalui temujanji.