Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dijangka akan ditambah pada tahun hadapan, 2018 sebanyak RM150 dari jumlah sekarang iaitu RM1,200 dan RM900 kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Ini merupakan salah satu daripada lima ramalan oleh pakar ekonomi semasa Bajet 2018 dibentangkan kelak kerana Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2018 diramalkan berkembang pada kadar lima peratus. Justeru, diramalkan salah satu pengumuman di dalam Bajet 2018 ialah Negara akan lebih mengutamakan kepentingan rakyat untuk mengurangkan beban kewangan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup.
Ahli Ekonomi, M. Manokaran yang merupakan Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank meramalkan pemberian BR1M itu berdasarkan unjuran yang dibuat terhadap golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Beliau juga menyatakan bahawa Bajet 2018 akan memberi lebih tumpuan kepada insentif yang boleh meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kenaikan kos sara hidup. Bajet 2018 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2017 ini.
Pemberian BR1M dilihat lebih produktif jika diberi melalui pelbagai inisiatif seperti bayaran tunai, bayaran tunai bersyarat, baucer makanan atau campuran beberapa skim yang perlu dipertimbangkan untuk menjadikan insentif itu lebih holistik berbanding bayaran secara tunai yang diaplikasikan sekarang.
Selain meneruskan agenda membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana akibat peningkatan kos sara hidup, pemberian BR1M perlu dipastikan berupaya membawa kepada peningkatan produktiviti dalam konteks ekonomi negara.