Bantuan Khas Selangor 2016

c30c

Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan masih dan telah dilakukan sepenuh hati bagi mereka yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, jangan dilupakan bahawa terdapat banyak lagi golongan yang berada dalam tahap kemiskinan. Oleh hal yang demikian, bantuan khas adalah dianggap perlu dilakukan bagi pihak yang mentadbir demi kesejahteraan rakyat.

Baru-baru ini, Bantuan Khas Selangor telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri. Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memberi bantuan khas sebanyak satu setengah bulan gaji dengan peruntukan hampir RM45.6 juta kepada 17,528 orang kakitangan Kerajaan Negeri Selangor. Pengagihan wang bagi bantuan khas yang akan dibuat bermula pada 1 Julai 2016 diharapkan mampu membantu penjawat awam dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri dan secara tidak langsung menghargai perkhidmatan mereka.

Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk memberi dua insentif lain iaitu kenaikan gaji tahunan yang merangkumi kenaikan gaji biasa dan kenaikan gaji khas yang melibatkan perbelanjaan wang sebanyak RM6.83 juta serta bayaran imbuhan tetap perumahan yang akan dinaikkan daripada RM180 ke RM300  bagi penjawat awam Gred 41 di Selangor dengan peruntukan hampir RM11.2 juta.

Pengumuman yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Selangor ini telah dianggap sebagai bantuan khas paling tinggi bagi mana-mana kerajaan negeri setakat ini berbanding Kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam.