BANTUAN KHAS RM 500 PENJAWAT AWAM NEGERI KEDAH

Seramai 5,000 kakitangan awam negeri Kedah akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri iaitu sebanyak RM 500 seorang. Pemberian ini diberikan kepada semua kakitangan termasuklah kakitangan kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH). Datuk Seti Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah telah membuat sendiri pengumuman ini dan pastinya ia menggembirakan kakitangan awam negeri Kedah ketika mendengar pengumuman ini. Pembayaran ini akan dibuat pada 20 Mei 2020 dan pastinya ramai menantikan pembayaran ini sebelum membuat persiapan sambutan Aidilfitri.

Bantuan Khas ini bukan sahaja akan dinikmati oleh kakitangan awam negeri Kedah, malah ia turut dinikmati oleh kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ianya akan diuruskan oleh PBT masing – masing. Pengumuman ini telah dibuat sebaik sahaja Datuk Seri Mukhriz mempengerusikan mesyuarat Exco. Pemberian bantuan ini diberikan kepada semua kakitangan kerajaan negeri Kedah termasuklah pegawai lantikan tetap, kontrak dan sementara, pegawai yang bergaji penuh dan separuh gaji (bercuti), pegawai yang  bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan ke agensi lain. Pekerja Sambilan Harian (PSH) adalah layak menerima bantuan ini dengan syarat ia masih berkhidmat sehingga 20 Mei 2020 perkhidmatan selama 30 hari berturut dalam tempoh 1 Januari hingga 20 Mei 2020.  Walau bagaimanapun, pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib, pegawai yang telah ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dan pegawai yang meletakkan jawatan  dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 20 Mei 2020 adalah tidak layak menerima bantuan ini.

Kerajaan negeri Kedah sentiasa prihatin dan turut merasai kesusahan yang dihadapi oleh kakitangan awam negeri dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri. Oleh sebab itu, Bantuan Khas ini diteruskan pada tahun ini seperti mana tahun lepas. Tambahan pula jika sesebuah keluarga itu memiliki bilangan anak yang agak ramai, pastinya ia agak memeningkan kepala untuk membuat persiapan bagi anak – anak ini. Dengan adanya Bantuan Khas ini, kerajaan negeri berharap ia dapat meringankan bebanan keluarga dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang tidak lama lagi biarpun sambutan hanya boleh dibuat di rumah sahaja memandangkan wabak Covid-19 masih menjengah negara kita.