Penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi golongan B40 akan mula menerima bantuan mulai 6 April 2020 hingga 12 April 2020 sekiranya berstatus lulus. Bagi kategori M40 pula, pembayaran akan dibuat bermula 13 hingga 15 April 2020. Ini merupakan pembayaran BPN pada peringkat fasa 1 dan dibuat secara berperingkat. Bantuan Prihatin Nasional ini membabitkan seramai 8.3 juta penerima isi rumah dan juga individu bujang yang telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM 5.63 bilion. Pada pembayaran fasa 1, sebanyak RM 3.24 bilion akan diperuntukkan untuk golongan B40 yang berpendapatan RM 4,000 ke bawah manakala sebanyak RM 1.81 bilion untuk kategori bujang berpendapatan RM 2,000 dan ke bawah.
Walau bagaimana pun, terdapat sebilangan kecil golongan B40 yang telah lulus tetapi gagal mendapat bayaran bantuan. Ini kerana terdapat penerima yang tidak mempunyai akaun bank atau akaun bank tidak aktif menyebabkan pembayaran tidak boleh dilakukan. Antara perkara yang perlu anda lakukan sekiranya pembayaran gagal dikreditkan adalah seperti berikut.
Perkara Penting Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Bantuan Gagal Dibayar
- Anda perlu membuat semakan bayaran melalui portal rasmi BPN iaitu di https://bpn.hasil.gov.my
- Log masuk ke akaun BPN anda menggunakan ID dan kata laluan yang sah
- Lihat Jumlah Bayaran yang lulus dan Status Kredit
- Sekiranya Status Kredit anda adalah Gagal Kredit, lihat pada Nombor Baucar untuk melihat No. Siri yang diberikan oleh LHDN
- Sekiranya tiada sebarang No. Siri dipaparkan, anda perlu menunggu seketika dan buat semakan dari masa ke semasa
- Pihak LHDN akan membuat kemaskini maklumat terkini
- Sekiranya No. Siri telah dipaparkan, anda boleh menebusnya di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) setelah berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020 kini dilanjutkan sehingga 28 April 2020. Sekiranya PKP berakhir pada tarikh yang telah ditetapkan, pemohon yang ingin menebus wang tunai di Bank Simpanan Nasional boleh melakukan penebusan tersebut sekiranya tempoh PKP telah selesai. Namun, sekiranya terdapat lagi tempoh perlanjutan PKP, maka pemohon perlu menunggu sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian. Semuanya bergantung kepada pengumuman terkini yang akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan.