Rayuan BR1M 2018

KUALA LUMPUR: YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang gagal mendapatkan bantuan tersebut boleh membuat rayuan bermula 2 April hingga 31 Mei 2018. Pengumuman ini dibuat menerusi laman Facebook dan Tweeter beliau. Rayuan ini boleh dibuat di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berhampiran. Selain itu, pemohon boleh menyemak status permohonan mereka melalui laman web LHDN iaitu di https://ebr1m.hasil.gov.my/. Walaubagaimanapun, rayuan ini hanya boleh dibuat oleh pemohon tertentu sahaja.

KAEDAH PERMOHONAN RAYUAN BR1M

  1. Rayuan di Cawangan Pejabat LHDN – Sebarang rayuan boleh dibuat di semua cawangan LHDN yang berhampiran bermula 2 April 2018 hingga 31 Mei 2018 dengan membawa dokumen sokongan yang diperlukan
  2. Permohonan secara online – Permohonan rayuan boleh dibuat secara atas talian bermula 13 April 2018 bagi permohonan yang berstatus tidak lulus berdasarkan kod tertentu seperti berikut :
  • 05 : Semakan rekod / maklumat yang dilaporkan pada borang mendapati pemohon dan isi rumah berpendapatan melebihi RM 4,000
  • 06 : Semakan rekod / maklumat yang dlaporkan pada borang mendapati pemohon dan isi rumah berpendapatan melebihi RM 2,000
  • 14 : Pendapatan seisi rumah dilaporkan melebihi RM 4,000 pada borang permohonan
  • 15 : Pendapatan bulanan dilaporkan melebihi RM 2,000 sebulan pada borang permohonan

DOKUMEN SOKONGAN

Terdapat beberapa permohonan rayuan yang tidak dibolehkan memohon secara atas talian kerana pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti penyata gaji, salinan Mykad pemohon dan pasangan serta sijil perkahwinan, sijil pengesahan mati, sijil lahir anak / tanggungan / sijil daftar anak angkat atau dokumen – dokumen sokongan lain bagi memproses permohonan rayuan tersebut.

Pemohon perlu mengisi borang rayuan BK-07 dan disertakan dokumen sokongan yang diperlukan. Borang rayuan ini boleh diserahkan kepada pejabat cawangan LHDN yang berhampiran, termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan juga Pusat Khidmat Hasil (PKH) setiap hari bekerja bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang (Semenanjung Malaysia) dan jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang (Sabah dan Sarawak). Sepanjang tempoh rayuan ini juga, pemohon yang ingin membuat sebarang pindaan serta pengemaskinian maklumat seperti nombor akaun bank, maklumat waris pemohon serta sebarang surat menyurat boleh dilakukan. Borang Rayuan BK-07 boleh dimuat turun melalui laman web LHDN.

MAKLUMAT LANJUT

Anda boleh menghubungi nombor seperti yang tertera di bawah sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai rayuan BR1M 2018.

  • Nombor talian Hotline MOF BR1M   : 03 – 8882 4565 / 03 – 8882 4561
  • Nombor talian Hotline LHDN BR1M : 1 – 800 – 88 – 2716
  • Secara e-Mel :  [email protected]
  • Faks : 03 – 8882 3933
  • Melalui Sekretariat BR1M di alamat berikut:

Pejabat Belanjawan Negara

Kementerian Kewangan Malaysia

Presint 2, 65292 Putrajaya

Penerima individu yang berpendapatan sebanyak RM 2,000 ke bawah sebulan layak menerima bantuan sebanyak RM 450 manakala pemohon yang berkahwin dan berpendapatan sebanyak RM 3,000 sebulan dan ke bawah seisi rumah layak menerima bantuan sebanyak RM 1,200. Bagi pemohon yang berpendapatan antara RM 3,001 hingga RM 4,000 seisi rumah pula layak menerima bantuan sebanyak RM 900. Sebanyak RM 6.8 bilion telah dibelanjakan bagi pembayaran bantuan BR1M kepada seramai 7.2 juta penerima, dengan bayaran fasa pertama telah bermula pada 26 Februari 2018, fasa kedua pada Jun 2018 dan fasa ketiga pada Ogos 2018.