Program PRIHATIN MyKasih
Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan telah memperkenalkan satu lagi projek perintis program bantuan yang dikenali sebagai Program PRIHATIN Kasih dan ianya telah dimulakan sejak 1 Julai yang lalu. Program PRIHATIN Kasih merupakan salah satu pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan ianya bertujuan untuk membantu menampung kos sara hidup golongan miskin bandar. Seramai 300,000 isi rumah yang terdiri daripada golongan miskin bandar akan menerima bantuan tersebut.
Jumlah Bantuan
Julai RM100, Ogos RM100 , September RM100
RM300
Bagi melaksanakan program ini, pihak kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM 100 juta di mana penerima akan menerima bantuan tersebut untuk tempoh tiga bulan dengan kadar RM 100 sebulan. Menerusi program ini, para penerima akan menerima bantuan tanpa tunai berbentuk barangan dapur. Ianya akan disalurkan melalui MyKad penerima. Bantuan tanpa tunai ini membolehkan penerima mendapatkan keperluan makanan asas yang terdiri daripada beras, minyak masak, telur, makanan dalam tin, susu bayi serta pelbagai barangan keperluan asas pilihan para penerima.
Program ini yang disasarkan kepada golongan miskin bandar telah dimulakan di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Para penerima bantuan akan dipilih daripada maklumat yang terdapat dalam pangkalan data Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) serta e-Kasih. Semakan silang juga akan dilakukan melalui pangkalan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Sebanyak 300 rangkaian pasar raya serta kedai runcit di seluruh Malaysia akan bekerjasama dalam menjayakan program ini. Antara pasar raya yang terlibat adalah seperti The Store, Mydin, Econsave, Giant, Pacific, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco), Milimewa serta kedai – kedai runcit terpilih. Negeri Selangor dan Kuala Lumpur merupakan Fasa Pertama program ini dilaksanakan mulai Julai hingga September 2021 dan ternyata mendapat respon positif daripada penerima.
Fasa seterusnya akan dilaksanakan pada bulan Ogos hingga Oktober yang akan diperluaskan ke negeri lain antaranya Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Johor, Melaka dan Terengganu. Negeri – negeri lain pula seperti Negeri Sembilan, Pahang, Putrajaya, Labuan, Sabah dan Sarawak pula akan menerima bantuan tersebut pada bulan September hingga November atau mulai Oktober hingga Disember 2021 (tertakluk kepada sebarang perubahan).
Setiap penerima akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS bagi mengesahkan status sebagai penerima manfaat di bawah program ini berserta tarikh dan masa untuk menghadiri satu sesi taklimat orientasi di kedai runcit berhampiran. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program ini dilaman web di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/.